Sunday, 12 April 2015

"Saya hanya sempat melaungkan Allahuakbar sebaik sahaja melihat kepingan bumbung rumah terkopak dibawa angin”

TASEK GELUGOR - "Saya hanya sempat melaungkan Allahuakbar sebaik sahaja melihat kepingan bumbung rumah terkopak dibawa angin,” cerita salah seorang mangsa ribut di Merbau Kudung lewat petang kelmarin.

Naziha Husin, 47, berkata ketika kejadian dia bersama dua anaknya berada di tingkat bawah.

Jaafar menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dalam ribut, petang kelmarin

“Kejadian berlaku begitu pantas. Saya berlari ke dapur kerana terdengar bunyi kuat, rupanya bumbung sedang terkopak sebelum hilang dibawa angin," katanya kepada Sinar Harian.

Dia kemudian menghubungi suami yang bekerja di sebuah kilang kotak di Sungai Bakap.

“Saya agak panik, tak tahu nak buat apa, hanya peluk erat kedua-dua anak. Mujurlah jiran-jiran datang membantu sebelum suami pulang ke rumah,” katanya.

Suami mangsa, Jaafar Hassan, 55, berkata terkejut menerima panggilan isteri memaklumkan mengenai perkara itu lalu bergegas pulang ke rumah.

“Bimbang juga keselamatan isteri dia pula tinggal seorang dengan anak anak kami.

"Sedih juga melihat apa yang berlaku, namun bersyukur kerana keluarga selamat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya meluang masa melawat beberapa keluarga mangsa terlibat.

Sinar Harian