BMW Group Malaysia menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan membeli beberapa kereta mewah BMW 5 Series dan 7 Series.
Sebaliknya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, kereta dengan nombor pendaftaran jata negara itu adalah kenderaan rasmi yang akan digunakan untuk Sidang Kemuncak Asean 2015 ke-26, ditaja sepenuhnya oleh syarikat itu.
“Kereta berkenaan tidak dibeli oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Kesemua BMW 5 Series dan BMW 7 Series itu akan digunakan untuk delegasi dan tetamu terhormat sepanjang persidangan itu,” jelasnya.
Terdahulu, dalam satu sidang akhbar di Lobi Parlimen, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta penjelasan kerajaan berhubung dakwaan pembelian enam kereta mewah BMW 7 Series oleh kerajaan yang dipasang nombor plat jata negara.
Rafizi mendakwa, kereta tersebut berada di cawangan BMW Bandar Puteri, Puchong dan meminta pihak BMW mengesahkan perkara berkenaan.
Katanya, beliau mendapat maklumat dan gambar-gambar berkenaan sekitar jam 7 hingga 10 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kakitangan dan pekerja di cawangan itu, kenderaan itu milik kerajaan.
“Mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila kenderaan itu tidak mempunyai nombor pendaftaran sebaliknya hanya mempunyai jata negara,” katanya.
Namun Rafizi mengakui, beliau tidak mengetahui tujuan pembelian kenderaan berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan bahawa BMW Malaysia menyatakan enam kereta BMW yang dipaparkan ditaja oleh BMW bagi persidangan Asean.
“Terima kasih kepada orang ramai yang mengambil gambar dan lain-lain; syukur bukan duit GST rakyat yang digunakan untuk membeli kereta-kereta ini,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a comment