Monday, 6 April 2015

Bayi perempuan ditemui di masjid

KUALA TERENGGANU - Seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di Masjid Merang, Setiu, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, bayi tersebut dijumpai lebih kurang jam 4 petang oleh seorang lelaki berusia 37 tahun yang singgah di masjid berkenaan untuk solat Zohor.
Bayi perempuan yang cukup sifat ini ditemui dalam Masjid Merang, Setiu, petang kelmarin.

“Lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik itu singgah di masjid berkenaan bersama keluarganya.

“Bagaimanapun, ketika masuk ke ruangan solat lelaki, dia ternampak satu bungkusan yang dibalut dengan kain dan diletakkan di satu sudut hujung ruang solat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Jelas Wan Abd Aziz, pada mulanya lelaki itu ingin mengabaikan sahaja bungkusan tersebut, namun dia berasa tidak sedap hati lalu mendekatinya.

Dia sangat terkejut apabila mendapati di dalam bungkusan itu terdapat seorang bayi perempuan.

Katanya lagi, bayi yang cukup sifat itu terus dihantar ke Balai Polis Penarik untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar menerima rawatan susulan di Hospital Setiu.

“Hasil laporan perubatan awal mendapati bayi perempuan itu dalam keadaan sihat dan pihak hospital yakin bayi berkenaan dilahirkan dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum ditemui,” katanya.

Kata beliau, pihaknya kini menubuhkan satu unit pasukan khas bagi mengesan mereka bertanggungjawab yang membuang bayi tersebut.

“Namun, kami percaya suspek dalam kes ini akan dapat dikesan dalam tempoh terdekat hasil rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di dalam masjid berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dan klinik atau hospital yang menerima pesakit baru lepas bersalin supaya menghubungi polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian