Tuesday, 28 April 2015

Pesawat TUDM digunakan untuk membantu bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Nepal untuk misi kemanusiaan hari ini, akan kembali membawa 95 rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.  
   
Najib berkata, beliau dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pesawat berkenaan sudah selamat mendarat di Kathmandu pada 10.15 pagi, hari ini.
   
Najib ditemubual bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabatnya semalam menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 26 dan 27 April.
- Foto Bernama
"Petang ini, pesawat C-130 akan kembali bersama-sama 95 rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal. Kami akan membawa mereka pulang dengan selamat," kata Najib dalam catatan terbaharu Facebook rasmi beliau, hari ini.
   
Pada Sabtu lepas, gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Nepal pada 2.56 petang (waktu Malaysia), turut menyebabkan gegaran kuat di Utara India. Gempa susulan turut berlaku di seluruh Nepal.
   
Ia adalah tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun, dengan mencatatkan lebih 4,000 kematian hari ini dan 6,500 orang cedera.

Sementara itu, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Che Akmar Mohd Nor berkata, pesawat itu kini dalam perjalanan ke Kolkata, India dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang malam ini, bergantung kepada keadaan penerbangan.

"TUDM bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan MKN sekiranya masih terdapat keperluaan untuk menggunakan pesawat TUDM bagi membawa pulang rakyat Malaysia mahupun menghantar bantuan bekalan keperluan ke Nepal," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, setakat ini TUDM belum menerima permohonan baharu daripada MKN untuk operasi berikutnya.

Che Akmar berkata, kelewatan sehari jadual penerbangan disebabkan oleh faktor kesesakan trafik udara pesawat bantuan dan komersial keluar masuk dari Kathmandu.

Pasukannya tidak berhadapan dengan apa-apa masalah lain dalam menjalankan misi berkenaan, katanya.

Terdahulu, Che Akmar menyempurnakan upacara pemakaian pangkat pegawai kehormat kepada lima pegawai Pasukan Simpanan Sukarelawan.

Sinar Harian