Saturday, 11 April 2015

Angin berpusar terbangkan bumbung rumah di Sungai Manik

SUNGAI MANIK - Sebanyak 120 premis rosak teruk akibat ribut yang melanda kawasan Dun Sungai Manik, di sini, kira-kira jam 6.20  petang, kelmarin.

Antaranya bangunan yang rosak akibat bencana itu ialah  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manik di mana bumbung beberapa bangunan sekolah tersebut diterbangkan angin.

Dalam pada itu beberapa rumah di lebih 15 kampung di kawasan Dun Sungai Manik turut terjejas teruk akibat bencana itu.

Mangsa ribut, Halimah Abd Wahab, 73, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya di Parit 16, di sini.

Katanya, pada mulanya, hujan lebat bersama angin kencang namun ketika itu tidak ada apa yang berlaku.

“Namun keadaan bertukar gerun bila makcik lihat angin berpusar-pusar berhampiran  rumah sebelum menerbangkan sebahagian besar bumbung dapur.

“Makcik tak sempat selamatkan barang kerana kejadian berlaku dengan pantas hingga hampir sebahagian rumah habis diterbangkan angin dalam kejadian petang semalam (kelmarin),” katanya.

Tergamam siling di atas kepala diterbangkan angin

Sementara itu Kasmah Husin, 63, berkata, ketika angin ribut sebahagian bumbung rumahnya di Parit 16, di sini diterbangkan angin.

“Bila tengok angin kencang berpusar menuju ke rumah, makcik segera laungkan azan dan terkejut bumbung di atas kepala diterbangkan angin.

“Ketika itu, makcik tergamam dan tidak mampu bergerak, selain berdoa kepada ALLAH supaya menyelamatkan makcik sekeluarga,” katanya.

Katanya, dia juga bernasib baik kerana tidak ditimpa bongkahan kayu rumahnya selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian itu.

Terpaksa tinggal dalam khemah 

Akibat kejadian ribut, sebuah keluarga di Parit 13, di sini terpaksa tidur dalam khemah selepas bumbung rumah mereka habis diterbangkan angin.

Mangsa, Zarudin Mohamad, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama anak-anaknya sebelum mendengar bunyi kuat.

"Anak bagi tahu, bumbung rumah habis diterbangkan angin dan tanpa berlengah saya segera bawa anak keluar dah berlindung di bahagian hadapan rumah.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH agar selamat daripada bencana itu," katanya.

Menurutnya, disebabkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin, dia sekeluarga terpaksa tinggal dalam khemah yang dipinjamkan jirannya untuk bermalam.

Mangsa ribut dibantu

Sementara itu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, selepas kejadian itu pihaknya bersama Pegawai Daerah Hilir Perak, Zamari Mohd Ramli  meluangkan masa melawat mangsa dan dalam masa menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terlibat
dengan bencana tersebut.

Menurutnya, bantuan bencana yang disediakan kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah telah diberikan kepada mangsa ribut bagi meringankan beban mangsa.

“Sumbangan antara RM200 hingga RM2,000 mengikut kerosakan rumah diberikan kepada mangsa supaya mereka dapat membaiki rumah akibat bencana itu,”katanya.

Sinar Harian