Thursday, 9 April 2015

Anak disangka tidur, rupanya telah meninggal dunia

KERTEH – Seorang pemandu lori berusia 24 tahun ditemui mati terbaring di dalam sebuah bangsal kayu dalam kejadian di Kampung Labohan, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Mayat pemuda berkenaan dijumpai bapanya  yang masuk ke bangsal itu untuk mengejutkan anaknya itu yang bekerja di sebuah syarikat di kawasan perindustrian Kerteh.
Gambar hiasan

Pemuda itu yang belum berumah tangga bekerja sebagai pemandu lori sejak empat tahun lalu dan tinggal berseorangan di bangsal berkenaan yang terletak dalam kawasan rumah keluarganya.

Sebelum kejadian, bapa pemuda berkenaan dikatakan melihat anaknya itu terbaring di atas lantai bangsal namun menyangka anaknya tidur kerana keletihan dan tidak mengesyaki apa-apa.

Bapa mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, bagaimanapun selepas beberapa kali cuba mengejutkan dan memanggil anaknya itu, tiada sebarang reaksi menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.

Menurutnya, apabila diperiksa, badan anaknya itu sejuk dan kaku, dia kemudian segera menghubungi Balai Polis Kerteh untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, anaknya itu sebelum ini kelihatan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kronik atau penyakit berbahaya lain.

Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengesahkan pemuda berkenaan telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Normansah Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setelah kita lakukan bedah siasat kita dapati kes tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Sinar Harian