Thursday, 9 April 2015

Peserta Rumah Ngaji dibahagikan kepada tiga kategori; lancar, tersekat-sekat dan langsung tidak boleh membaca al-Quran

KOTA BHARU - Rumah Ngaji Sinar Harian Kelantan mengelaskan peserta yang berkebolehan membaca al-Quran dan kurang lancar sebagai usaha memudahkan pengajaran.

Tenaga pengajarnya, Ahmad Sahibul Akmal Mohamad berkata, pengkelasan itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu lancar, tersekat-sekat dan langsung tidak boleh membaca al-Quran.
Peserta yang mengikuti program Rumah Ngaji hari kedua di pejabat Sinar Harian, Pengkalan Chepa, semalam.

“Pengelasan ini dibuat selepas mengenal pasti kebolehan peserta Rumah Ngaji Sinar Harian Kelantan  menerusi bacaan yang dilakukan seorang demi seorang.

“Peserta yang lancar dan tersekat-sekat membaca al-Quran diminta hadir pada setiap Rabu, manakala yang kurang lancar perlu hadir pada setiap Isnin,” katanya pada hari kedua program Rumah Ngaji di pejabat Sinar Harian, Pengkalan Chepa, di sini, yang dihadiri lebih 50 peserta, semalam.

Ahmad Sahibul Akmal berkata, dia mempunyai pendekatan tersendiri selepas mengelaskan semua peserta bagi tujuan mengenal, membaca dan menghafal 30 juzuk al-Quran.

“Saya mahu peserta membuat praktis mengaji al-Quran di rumah dan tidak mengharapkan kelas semata-mata.

“Selepas ini, saya akan mengajar mereka membacanya secara serentak helaian demi helaian bersama-sama dan menyasarkan mampu khatam 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Selain sentiasa istiqamah semasa hadir mempelajari al-Quran, Ahmad Sahibul Akmal juga mahu peserta membulatkan tekad menghafal sebaris ayat sehari dalam usaha tersebut.

Sementara itu, peserta, Wan Jaafar Wan Ibrahim, 62, dari Pasir Tumboh, mengakui, banyak tempat mengaji al-Quran percuma ditawarkan di Kelantan, tetapi program dianjurkan Sinar Harian mendapat sambutan.

“Ini adalah peluang terbaik dan saya percaya program Sinar Harian ini akan mendapat sambutan luar biasa suatu hari nanti kerana sistem pengajaran yang diperkenalkan sistematik dan mudah,” katanya.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Nik Mat-Mahmood Al-Daudi, 65, pula berkata, pengajaran al-Quran secara asas diperkenalkan Rumah Ngaji sangat memudahkan peserta untuk belajar.

Sinar Harian