Thursday, 9 April 2015

Alhamdulillah, pembedahan injap jantung adik Nazmi berjaya

PEKAN – Berkat doa, sokongan dan bantuan semua pihak, Mohamad Nazmi Haziq, 3, berjaya dalam pembedahan injap jantung pada 24 Mac lalu.

Pembedahan yang memakan masa kira-kira lima jam di Institut Jantung Negara (IJN) itu memberi sinar baru kepada Mohamad Nazmi menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.
Mohamad Nazmi sejurus menjalani pembedahan injap jantung di IJN.

Ibunya, Khamsiah Omar, 45, berkata, keresahan yang dirasainya dan suami, Mazlan Zakaria, 46, terlerai selepas melihat anak bongsu mereka keluar dari bilik pembedahan.

“Beberapa kali melihat tubuh kecil Adik (Nazmi) berselirat wayar dan tiub selepas menjalani pembedahan pastinya mengundang rasa sayu kami yang seolah-olah turut merasai kesakitan yang ditanggungnya.

“Namun, rasa syukur kepada ALLAH SWT lebih besar dipanjatkan di dalam hati apabila Adik selamat menjalani pembedahan walaupun tahu ada risiko yang menanti kami semua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Khamsiah berkata, pembedahan memasang injap jantung baru ini berjaya meluaskan saluran pernafasan Adik yang kian sempit berikutan injap yang dipasang ketika berusia 40 hari tidak lagi mampu menampung keperluan oksigen yang sepadan dengan dirinya yang semakin membesar.

“Selepas dibenarkan keluar wad IJN pada 31 Mac lalu, keadaan kesihatan Adik tidak begitu stabil dan dimasukkan ke Hospital Pekan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman.

“Semua kesukaran itu dilalui Adik dengan semangat juang tinggi dan dia semakin sembuh selepas doktor yang merawat membenarkan Adik pulang ke rumah 2 April baru-baru ini,“ katanya.

Adik kini makin ceria malah sentiasa aktif bermain seperti kanak-kanak sebaya walaupun masih dalam proses  sembuh setelah menjalani pembedahan penting kira-kira dua minggu lalu.

“Melihat keletah Adik yang suka tersenyum dan ketawa begitu menggembirakan hati saya dan suami yang amat bersyukur dengan keadaan dirinya kini.

“Kami juga ingin menyampaikan rasa penghargaan kepada semua pihak terutamanya keluarga serta orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kos pembedahan ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Khamsiah turut mengakui, masih ada dugaan yang bakal dihadapi dia dan suami berikutan beberapa siri pembedahan melibatkan usaha membuat lelangit, gigi dan lain-lain di Hospital Kuala Lumpur (HKL) perlu dijalani Adik pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“HKL ada memberi tarikh pembedahan pada Mei depan, namun saya meminta pihak hospital memberi tempoh penangguhan kerana tidak sampai hati melihat keadaan Adik yang baru sahaja selesai dan pulih dari pembedahan memasang injap jantung kekal baru-baru ini,” katanya.

Sinar Harian