Sunday, 26 April 2015

Terbaru dari FB: notis pemberitahuan pengesahan keselamatan pengguna di kawasan yang berlaku gempa bumi

Empat jam selepas insiden gempa bumi besar dilaporkan berlaku semalam, pengguna laman sosial Facebook mula menerima pemberitahuan (notification) aneh yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Pemberitahuan tersebut mengesahkan individu yang berada di Nepal atau kawasan yang terlibat gempa bumi terselamat daripada bencana.

Sistem Pemberitahuan Pemeriksaan Keselamatan (Notification from Safety Check) diaktifkan di Facebook sejak tahun lalu.

Menjawab misteri tersebut, pemilik laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg seperti yang dipetik menerusi The Atlantic mengambil inisiatif untuk mengaktifkan  sistem Pemberitahuan Pemeriksaan Keselamatan (Notification from Safety Check) tahun lalu.

“Bila ada bencana atau malapetaka besar berlaku, mereka perlu tahu sama ada insan tersayang terselamat atau tidak.

“Inilah saatnya bila kita rasa betapa pentingnya bila kita dapat berhubung dengan insan yang kita sayangi,” katanya menerusi akaun rasmi Facebooknya.

Rata-rata pengguna Facebook yang mempunyai kenalan, teman, atau keluarga di Nepal akan mengetahui status keselamatan individu yang terlibat dengan nahas tersebut.

Mengulas mengenai fungsinya, sistem tersebut akan mengesan pengguna Facebook yang berada berhampiran dengan lokasi bencana.

Pengesanan tersebut dilakukan ke atas akaun pengguna yang dikatakan tinggal di bandar tersebut.

Sistem tersebut juga turut mengesan tarikh dan masa terakhir seseorang mengaktifkan Facebook mereka.

Pengguna Facebook yang merupakan mangsa bencana akan menerima notis pengesahan keselamatan daripada Facebook.

“Pengguna yang terlibat dengan bencana akan menerima notis pengesahan yang mengesahkan sama ada mereka terselamat atau kawasan mereka terlibat dengan bencana tersebut.

“Bagi yang terselamat, mereka akan mengesahkan bahawa mereka terselamat dan satu pemberitahuan akan dihantar kepada rakan-rakannya,” katanya lagi.

Pengguna Facebook juga boleh mengesan rakan mereka yang dikhuatiri terlibat dengan bencana tersebut.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Nepal semalam bukan sahaja mengorbankan lebih 1000 orang tetapi juga hampir memusnahkan beberapa bangunan berusia berabad di ibu negara Kathmandu dan kawasan sekitarnya.

Gempa bumi tersebut dilaporkan telah mengorbankan hampir 2,000 nyawa merentasi empat negara termasuk Pakistan, Bangladesh dan India.

Sinar Harian