Thursday, 23 April 2015

Alhamdulillah akhirnya pakcik ini berjaya diselamatkan setelah lebih 3 jam berada di atas pokok kelapa

BACHOK – Seorang nelayan terpaksa menunggu lebih tiga jam di atas pokok kelapa setinggi 15 meter dan terpaksa melupakan hasrat untuk minum air kelapa muda apabila dia tidak dapat turun dari situ dipercayai akibat sesak nafas.

Shamsudin Husin, 52, dari Kampung Changgong berkata, ketika jam baru sahaja menunjukkan 12 tengahari dan dia baharu sahaja pulang dari menangkap ikan di laut.

Dia kemudiannya memanjat pokok kelapa yang terletak beberapa meter dari rumahnya untuk mendapatkan kelapa muda untuk dijadikan santapan tengahari bersama nasi.

“Saya hanya sempat jatuhkan sebiji kelapa sahaja sebelum rasa sesak nafas dan kaki kejang. Seluruh anggota badan saya rasa lemah dan saya tak dapat turun.

“Kemudian saya menjerit maklumkan budak- budak di bawah untuk minta bantuan. Dua remaja iaitu Zahasmi Zamburi,20, dan Fadil Ismail,22, naik ke atas untuk membantu. Mereka naik berikan saya nasi dan air.

Saya makan di atas pokok sementara menunggu bomba datang. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba dari Kota Bharu yang datang selamatkan saya tadi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Shamsudin berkata, sebelum ini dia tidak pernah memanjat pokok kelapa itu dan kali ini hatinya tergerak untuk memanjat sendiri pokok bagi mendapatkan kelapa muda.

Difahamkan, Shamsudin yang tinggal sendirian di sebuah rumah berdekatan pantai Kampung Changgong itu adalah penghidap darah tinggi dan gastrik.

Manakala, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Senawi bersama 10 anggota.

Dua buah jentera termasuk Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) digunakan bersama peralatan tangga dan tali menyelamat untuk membawa turun mangsa.

Sinar Harian