Saturday, 14 March 2015

Tong sampah anti monyet

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperkenalkan tong sampah anti monyet bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan di Taman Rimba Templer sejak tahun lalu.

Arkitek landskap, Syamsul Arif Mahmud berkata, sejak meletakkan 10 tong sampah di taman riadah itu, sebanyak 80 peratus masalah pembersihan berjaya diselesaikan di kawasan itu.

"Tong sampah anti monyet adalah tong bertutup yang menyukarkan monyet untuk menyelongkar sampah.

“Tong yang bersifat statik kerana diperbuat menggunakan konkrit itu merupakan projek perintis dan masih dalam tempoh percubaan lagi. Jika hasilnya memuaskan kita akan mengembangkannya untuk kawasan lain juga,” katanya.
Syamsul (kiri) menunjukkan tong sampah anti monyet bagi mengelakkan haiwan itu menyelongkar sampah.
Dalam pada itu menurutnya, pihaknya juga dalam usaha menyelesaikan masalah vandalisme yang semakin membimbangkan bagi mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Sebanyak RM10,000 diperuntuk secara bulanan untuk penyelenggaraan kawasan ini termasuk upah enam kontraktor pembersihan.

“Kita minta bantuan polis untuk buat rondaan bagi atasi masalah vandalisme dan keselamatan selain pemantauan berkala dari penguat kuasa MPS,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan kawasan sentiasa berada dalam keadaan terbaik, pihak MPS menjalinkan kerjasama dengan pihak luar terdiri pertubuhan bukan kerajaan, kolej dan syarikat untuk kempen kesedaran.

“Tiga program akan dijalankan tahun ini melibatkan kerja pembersihan dan tanam pokok yang dalam masa sama boleh menarik pelancong ke kawasan riadah ini.

”MPS juga dalam cadangan baik pulih dasar kolam mandian untuk keselamatan pengunjung. Sebelum ini juga projek  memperindah landskap melalui penambahan wakaf, kerusi konkrit, surau dan tapak perkelahan telah dibuat," katanya.

Sinar Harian