Friday, 20 March 2015

Tindakan gadis persenda hudud dikecam

SEORANG gadis Melayu didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud di negeri itu mencetuskan kecaman hebat terhadapnya di laman sosial.

Gadis yang dikenali sebagai Aishah Tajuddin didapati melakonkan aksi (parodi) dan mengeluarkan kata-kata yang didakwa menghina hukum hudud dalam sebuah klip video yang berjudul 'Aisyah BFM Kupas Hudud di Kelantan'.


Antara babak dalam lakonan itu yang memperlihatkan dia mempersendakan hudud apabila dia yang tidak berhijab tiba-tiba berubah imej (berhijab) sambil berkata “Eh sejak bila ini, oh lupa pulak mak, Kelantan", merujuk kepada kewajipan wanita untuk menutup aurat selepas undang-undang hudud diluluskan di Kelantan.

Gadis itu terus mempersendakan undang-undang pelaksanaan hukum hudud apabila mengatakan agama digunakan untuk mengaburi rakyat bagi meraih populariti politik.

"Banyak pula pindaan dia. Pastu boleh pulak MB Kelantan panggil orang yang kritik hudud ni tak beriman…Eh awak nie… tak beriman lah.

“Agama digunakan untuk mengaburi mata rakyat dari isu yang penting macam ekonomi, pentadbiran. Sama la macam isu negara ni. Orang gaduh pasal bangsa, agama tapi ekonomi negara merosot, pastu hutang kita meningkat. Bila dah sampai masanya tak tahu lah kalau hudud tu boleh isi periuk nasi kita.”, katanya

Sementara pada minit terakhir, gadis itu membuat satu aksi di mana dia membuka satu bungkusan nasi lemak dan kemudian tiada nasi di dalam bungkusan itu dan berkata: “…eh tak pe la, hudud kan ada“.

Berikutan itu, ratusan pengguna Facebook mengecam tindakannya malah meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap gadis berkenaan.

Sinar Harian