Saturday, 28 March 2015

Thailand janji siasat pembunuhan orang ramai dan akan bayar pampasan kepada keluarga mangsa

PATTANI - THAILAND. Pihak berkuasa di selatan Thailand akan menyiasat kejadian anggota keselamatan membunuh empat orang awam dan menahan 22 orang lagi.

Wirapong Keawsuwang, Gabenor Wilayah Pattani berkata pihak beliau akan menyiasat kejadian dengan teliti dan akan memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau juga berjanji membayar wang pampasan kepada keluarga mangsa.  

Ketua Polis Wilayah Pattani Mej Jen Pol. Krisakorn Plitanyawong berkata pasukan penyiasat akan ditugaskan untuk menyiasat kejadian itu dengan tepat dan adil.   

“Kami akan menyiasat kejadian ini dan jika didapati ada yang bersalah maka mereka akan dihukum mengikut undang-undang bagi mendapat keadilan kepada semua pihak," kata beliau.

Kejadian tersebut melahirkan perasaan tidak puas hati anggota keluarga mangsa dan yang ditahan dengan tindakan melampaui pihak keselematan.

Selain itu mereka mempersoalkan dari mana senjata api yang terdapat di tempat kejadian.

Seorang abang kepada mangsa berkata dia tidak percaya adiknya dan yang lain ada kaitan dengan gerakan pembebasan Patani.

“Kenapa pihak pegawai keselamatan bertindak menembak mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Rektor Universiti Islam Fathoni, Dr Ismail Lutfi Chapakia turut mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan kes tersebut kerana dua orang daripada mangsa yang mati adalah pelajar universiti swasta tersebut.

“Kami usaha dalam membina sumber manusia tetapi kamu (pegawai keselamatan) datang merosakkannya. Kami sangat kecewa,” kata beliau.

Beliau berkata dua orang yang terkorban adalah pelajar tahun empat universiti itu dan kedua-dua mereka tidak ada kaitan dengan anggota pemisah seperti yang dituduh oleh pihak keselamatan. 

Beliau juga mahu jawatankuasa diwakili pelbagai organisasi menyiasat kejadian.

Pada Rabu lepas, lebih kurang 100 orang anggota keselamatan Thailand telah mengepung sebuah rumah setelah mendakwa pihak perisikan mendapat laporan  bahawa terdapat lebih 20 orang lelaki yang disyaki anggota gerakan Pembebasan Pattani mengadakan mesyuarat.

Mereka didakwa merancang serangan ke atas pihak anggota keselamatan dan ia menyebabkan satu pertempuran di mana empat orang terkorban dan 22 orang lagi  di tahan

Sinar Harian