Saturday, 14 March 2015

"Sudah puas saya naik turun ke KWSP, tapi hak saya masih belum dapat"

"Sudah puas saya naik turun ke KWSP, tapi hak saya masih belum dapat."  Luah seorang bekas pengawal keselamatan, yang mahu menuntut wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bernilai lebih RM48,000 yang didakwa hilang dalam akaun pada tahun 2007.

Ruslan Ahmad, 52, berkata, masalah itu dirujuk ke KWSP namun dimaklumkan wangnya diambilalih Amanah Raya Berhad setelah dia dilaporkan telah meninggal dunia.

Sejak itu, selama lima tahun dia berurusan dengan Amanah Raya bagi membuktikan dirinya masih hidup termasuk mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Lima tahun saya pertahankan hak saya akhirnya Amanah Raya sahkan dan akan masukkan semula wang dalam akaun KWSP. Tapi masih tiada wang dalam akaun.

“Saya ke KWSP, naik turun berpuluh-puluh kali untuk dapatkan hak. Tapi akhirnya KWSP sahkan akaun saya bercampur dan wang saya hanya ada RM4,000 ,” katanya kepada Sinar Harian.
Ruslan menunjukkan laporan Amanah Raya Berhad berhubung baki wang KWSP
Ruslan akui ada dokumen buktikan wang KWSPnya melebihi RM45,000 pada 2006,  tetapi lesap pada 2007.

"Saya pula dilaporkan mati sedangkan saya masih hidup. Mengapa tak disiasat. Akaun bercampur dikatakan terjadi bila ada yang guna pengenalan diri saya. Jadi bila jumlah wang KWSP saya hanya RM4,000 seolah-olah saya yang guna identiti palsu sedang pengenalan diri saya disahkan. Saya bekerja berpuluh-puluh tahun di lebih 20 tempat kerja pengawal keselamatan,” katanya.

Ruslan turut kecewa dengan laporan dikeluarkan sebuah akhbar pada 21 Februari lalu dan mendakwa ia tidak sama seperti yang dinyatakan.

“Apa yang dilaporkan tidak benar, mungkin ada berlaku pecah amanah,” katanya.

Menurut Ruslan, dia akan terus memperjuangkan haknya dan mahu wang carumannya dikembalikan walaupun terpaksa mengambil tindakan undang-undang.

Tiada unsur pecah amanah: KWSP

KWSP bersedia melakukan siasatan semula berhubung akaun caruman bercampur melibatkan individu bernama Ruslan Ahmad sekiranya pengadu dapat mengemukakan bukti menyokong tuntutannya.

Pengurus Besar Jabatan Pengeluaran, Zalikar Yusoff berkata, perkara itu telah diambil perhatian sejak aduan diterima pada 2007 dan hasil siasatan jabatan audit dalaman mengesahkan terdapat dua pencarum dalam satu akaun yang sama dan masing-masing telah mendapat hak mereka.

Menurutnya, pengasingan caruman telah dibuat berdasarkan rekod majikan kedua-dua individu dan telah disahkan menerusi soal siasat secara menyeluruh termasuk majikan, dan Ruslan sendiri.

“Perkara ini telah dijelaskan ketika pertemuan, Ruslan tidak dapat menerima kenyataan majoriti jumlah wang caruman bukan miliknya.

“Individu berkenaan telah dilaporkan meninggal dunia pada 2005, waris telah menuntut caruman dan semasa proses penyerahan, pengesahan kematian telah dibuat melalui JPN dan polis, berdasarkan cap jari," katanya.

Jelas Zalikar, ketika proses siasatan, pengasingan jumlah caruman KWSP milik Ruslan telah diasingkan mengambil kira rekod majikan dan hanya ada kira-kira RM1,939 sebelum ditambah nilai dividen.

Sektor pekerjaan kedua-dua individu juga berbeza dan Ruslan mengakui tidak pernah bekerja dalam bidang lain selain pengawal keselamatan, sedangkan rekod pencarum ‘si mati’ bekerja di sektor lain.

Katanya, jika dilihat berdasarkan rekod jumlah caruman Ruslan yang tidak konsisten, mustahil wang KWSP miliknya mencecah RM40,000.

“Berdasarkan rekod, paling tinggi caruman pada tahun 1997 iaitu sebanyak RM498.56 dan paling sedikit pada 1998 iaitu pada Jun berjumlah RM10 saja," katanya.

Menurutnya, kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku melibatkan akaun bercampur namun sejak perlaksanaan sistem baru bermula 2007, tiada kes direkodkan.

KWSP tidak menolak kemungkinan ia terjadi apabila terdapat individu yang menggunakan identiti individu lain, namun ia diluar bidang kuasa KWSP yang hanya menguruskan hal berkaitan caruman.

Sinar Harian