Wednesday, 18 March 2015

SMS tawaran hadiah RM30 000 daripada syarikat Power Root adalah palsu

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dikirimkan individu tidak bertanggungjawab, menawarkan hadiah wang sebanyak RM30,000 daripada syarikat Power Root.

Salah seorang penerima SMS itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 32, berkata pada 9 Mac lalu dia menerima SMS yang mengatakan nombor telefonnya terpilih memenangi cabutan bertuah RM30,000, dan dikehendaki menghubungi nombor tertera.

Intan, seorang suri rumah memberitahu, sebelum ini suaminya ada membeli air minuman Power Root, tetapi tidak pernah menyertai sebarang peraduan.

Walaupun dia masih keliru, namun dia terus menghubungi nombor dinyatakan itu, bagi mendapatkan kepastian.

“Sebaik sahaja panggilan telefon saya dijawab, terdengar suara lelaki yang menggunakan loghat Indonesia. Saya maklumkan sepertimana SMS yang diterima, dan mula mengesyaki sesuatu apabila lelaki itu meminta nombor akaun untuk memudahkan mereka memindahkan wang kepada saya.

“Namun, apabila saya bertanyakan mengenai syarikat Power Root ini, lelaki tersebut mula cemas dan mengatakan dia hanya seorang kerani sahaja dan ditugaskan untuk mendapatkan nombor akaun dan kad pengenalan pemenang untuk direkodkan.

“Curiga dengan cara lelaki tersebut, saya kemudiannya terus meletakkan telefon dan mula sedar lelaki itu hanya mahu menipu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, mujur dia cepat sedar dengan tindakannya itu, jika tidak pasti sesuatu yang buruk akan berlaku.

Sementara itu, juru cakap syarikat Power Root (M) Sdn Bhd ketika dihubungi menafikan kiriman SMS yang menawarkan hadiah wang tunai menggunakan nama Power Root.

Katanya, peraduan Power Root berakhir pada Disember 2014 lalu, dan tiada sebarang peraduan baru dikeluarkan pada tahun ini.

“SMS tersebar adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran diberi.

“Jika terdapat sebarang kemusykilan, orang ramai boleh layari laman web rasmi Power Root atau hubungi ibu pejabat syarikat kami di talian 07 - 386 6868.

“Kami tidak pernah menggunakan SMS untuk memaklumkan kepada pemenang. Oleh itu, sekali lagi ditegaskan SMS yang dikirim itu adalah palsu,” katanya.

Sinar Harian