Friday, 20 March 2015

Siapa berhak menjadi wali pernikahan?

BAGAIMANA pula situasi berlaku kepada anak gadis kematian wali terdekat menyedihkan lagi jika gadis itu tidak mempunyai saudara terdekat.

Bagaimanakah pula jika walinya hilang jejak, apakah usaha yang perlu dilakukan, adakah perlu mencarinya sehingga jumpa?

Meninggalnya wali terdekat

Syed Mohsin yang juga mudir Ribat Assa’adah, Yayasan Restu (Wilayah Utara) menegaskan, sekiranya seseorang perempuan itu sudah kematian wali terdekat, maka walinya akan berpindah kepada wali-wali nasab yang lain seperti yang diterangkan sebelum ini (menurut turutan).

"Menurut Majlis Muzakarah Fatwa Malaysia, sekiranya wali nasabnya hilang, usaha perlu dilakukan untuk mencarinya dengan kaedah seperti menyiarkan dalam media sosial, surat khabar dan sebagainya. Setelah kesemua usaha untuk mencari wali masih gagal maka bolehlah wali hakim mengahwinkannya apabila langsung tiada wali nasab.

"Kita lihat senario ini, anak gadis itu bakal berkahwin. Dia tidak mempunyai adik-beradik lelaki. Bapa anak gadis ini berkahwin lain dan mempunyai keluarga baru iaitu dua orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Adakah adik lelaki berlainan ibu itu boleh menjadi wali kepada gadis yang bakal berkahwin itu? Merujuk kepada situasi di atas, kuasa wali masih di tangan ayahnya sekiranya ayahnya masih hidup," katanya lagi.

Menurut kitab Bughyatul Mustarsidiin dalam bab nikah, selagi bapa kandungnya masih ada, tidak boleh dipindahkan kepada wali yang lain. Jika berlaku sebaliknya, barulah dipindahkan kepada wali nasab yang lain. Dalam masalah ini, adik lelaki berlainan ibu jatuh kepada wali nasab yang keempat iaitu saudara lelaki sebapa.

Beliau turut memberikan contoh yang biasa berlaku apabila anak gadis berkahwin di Thailand (berkahwin lari) sedangkan bapanya masih hidup?

Adakah perkahwinannya sah?

Muzakarah Ahli Fatwa Islam Malaysia menjelaskan hukum nikah di luar negara adalah sah dengan syarat:

- Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
- Pernikahan itu melebihi dua marhalah bersamaan 89 km.
- Pernikahan itu dilakukan wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Jika walinya ghaib kurang dari dua marhalah  tidak boleh dikahwinkan, kecuali mendapat izinnya. Jika walinya enggan mewalikan gadis tersebut sebanyak tiga kali atau lebih setelah dipanggil pihak bertanggungjawab, wali tersebut boleh dianggap sebagai fasik, maka kuasa wali akan berpindah kepada wali hakim. (Kitab Matla Badrain)

Izin si janda

Setiap perkahwinan memerlukan wali. Namun bagi menikahkan seseorang janda, wali perlu mendapat keizinan wanita tersebut terlebih dahulu. Wali mujbir tidak boleh dilaksanakan ke atas janda.  

Kisah teladan mengenai konsep perwalian ini diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar, dia berkata: "Saya mempunyai saudara perempuan . Dia dipinang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya.

Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis idahnya.

Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, saya jawab: "Demi ALLAH, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya".

Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi SAW. Berhubung dengan peristiwa ini, ALLAH menurunkan ayat-Nya: "Apabila kamu mentalak isterimu, lalu habis masa idahnya, maka janganlah kamu menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya". (Surah Al-Baqarah: 232)

Kemudian Ma’qil berkata lagi: "Kemudian saya membayar kifarat sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan". (Riwayat Bukhari & Abu Daud)

Jumhur Fuqaha (mazhab Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. 

Rasulullah SAW bersabda: "Kalau wali itu enggan maka hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud & Tirmizi)

Usah pandang remeh

Sementara itu, Perunding motivasi yang juga Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood berpendapat, isu perwalian ini tidak boleh dipandang remeh.

"Melalui kebenaran wali barulah pernikahan itu dapat dijalankan. Melalui pernikahan ini juga bermulalah perjalanan sebuah kehidupan melalui tautan dua jiwa. Seharusnya permulaan yang baik akan membuatkan pasangan dapat melayari kehidupan dengan tenang di bawah rahmat ALLAH.

"Perempuan yang ingin berkahwin seharusnya menjaga hubungan baik dengan walinya. Perempuan yang sering terbawa-bawa fikirannya oleh emosinya sememangnya perlukan pandangan seorang lelaki untuk menjaganya dan memberi buah fikiran terbaik untuknya terutamanya daripada pandangan seorang ayah yang mendidik dan membesarkan kita.

Sebagai wali pula sekiranya tiada halangan syarie maka permudahkanlah urusan perkahwinan tersebut," katanya.

Wahai anak, berkahwinlah dengan cara yang baik tanpa perlu lari dari rumah atau mengheret walimu ke muka pengadilan. Wahai Wali, didiklah mereka di bawah perwalian kamu agar mereka mengetahui dan memahami apa yang terbaik untuk mereka.

Sesungguhnya pernikahan ini bukan hanya tautan dua jiwa, tapi juga tautan dua keluarga yang besar dalam mencari cinta ALLAH dan rasul untuk disulam dalam cinta mereka selamanya hingga ke syurga.

Sinar Harian