Terdapat individu yang terhimpit dengan masalah kewangan mengambil jalan mudah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah ekonomi dan kewangan yang melanda kini menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara bertentangan undang-undang.
“Menurut risikan pihak polis menyatakan ada sesetengah anggota kumpulan kongsi gelap bersedia menjadi pembunuh upahan semata-mata mahu melangsaikan hutang lapuk.
“Mereka berfikir dengan menganggotai kumpulan kongsi gelap, mereka boleh mengaut keuntungan daripada rangkaian pengedar dadah, judi, pelacuran dan perniagaan haram,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan Biro Profesional Muda Pemuda Umno, semalam.
![]() |
Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan: Merancang Kembali Kewangan Anda di Auditorium Sirim, semalam. |
Katanya, golongan berhutang juga turut berisiko terjebak jenayah kolar putih yang melibatkan penyelewengan, penipuan dan rasuah.
“Masyarakat makin hilang kekuatan kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Fenomena yang berlaku ini mencerminkan masyarakat moden semakin jahil.
“Cuba bayangkan jika penguat kuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam terima rasuah kerana mencari pendapatan tambahan, akhirnya ia memberi kesan buruk kepada keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, skop tugasan Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (Stagg) akan diperluaskan.
Katanya, Stagg berperanan merempuh agensi ah long yang mempunyai hubungan dengan jenayah terancang kerana ancaman mereka terhadap masyarakat yang semakin melampau.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment