Wednesday, 25 March 2015

Remaja terjatuh di Bukit Tabur selamat

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang tergelincir lebih 200 meter dari lereng Bukit Tabur berjaya ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 5.30 petang semalam dan usaha membawanya keluar dijangka memakan masa lebih 5 jam.

Difahamkan, mangsa, Qhairun Fatin Khairul Amin bersama 11 bekas rakan sekolahnya memulakan perjalanan mendaki bukit terbabit kira-kira 8 pagi dan berjaya sampai ke stesen 7 sebelum mangsa tergelincir.
REMAJA ditemui selamat (dalam bulatan).
Rakan mangsa terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan usaha mencari mangsa disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dibantu Jabatan Hutan Selangor.

Harian Metro difahamkan perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira dua jam dan usaha untuk mengeluarkan mangsa turut dijangka mengalami sedikit kesukaran berikutan cerun bukit yang tinggi serta cuaca gelap.

Mangsa yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak dikatakan ditemui dalam keadaan sedar tetapi mengadu sakit tulang belakang selain mengalami kecederaan luka di kepala.

Hmetro