Thursday, 5 March 2015

Buat rawatan di klinik, ubat pula perlu beli di farmasi yang berasingan?

Sejak beberapa minggu lalu, heboh diperkatakan mengenai kemungkinan pesakit perlu membeli ubat secara berasingan di farmasi selepas mengunjungi mana-mana klinik swasta.

Laporan berterusan di media mengenai isu pengasingan pendispensan ubat (DS) itu membangkitkan kemarahan banyak pihak terutama rakyat yang khuatir akan terbeban dari segi kewangan berikutan cadangan itu.

Hakikatnya, cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi itu tidak boleh berlaku selagi kerajaan tidak membentuk satu sistem kesihatan bersepadu, menggabungkan sektor awam dan swasta dengan rawatan kesihatan serta ubat dibiayai kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, andaian tidak betul mengenai isu itu menyebabkan banyak salah faham timbul sehingga membimbangkan rakyat.

Pertama, katanya, andaian yang dibuat ialah sistem pengasingan fungsi klinik dan farmasi ini akan bermula pada 1 April.

“Kedua, diandaikan Rang Undang-Undang Farmasi (berkaitan peraturan baharu itu) akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan ini. Sebenarnya tidak betul, perkara ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Jabatan Peguam Negara pun sudah beritahu daripada 170 seksyen, hanya 28 seksyen yang sudah selesai digubal jadi memang tak sempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, isu itu timbul selepas Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) yang bertanggungjawab dalam isu farmasi komuniti menghantar memo kepada Kementerian Kesihatan bagi menyuarakan hasrat mereka untuk melaksanakan DS.

“Tetapi ia tidak akan berlaku pada 1 April kerana terlalu suntuk,” jelasnya.

Pengasingan tugas doktor, ahli farmasi jamin keselamatan pesakit. Namun katanya, cadangan pengasingan tugas doktor dan ahli farmasi itu adalah amalan terbaik dalam perubatan yang akan memberi jaminan keselamatan kepada pesakit.

Menurutnya, ramai orang tidak sedar risiko dihadapi mereka semasa mengambil ubat di klinik swasta yang dikeluarkan oleh doktor sendiri tanpa pemantauan ahli farmasi.

“Bukan amalan baik untuk doktor tulis preskripsi ubat dan doktor sendiri yang beri ubat. Tak ada orang semak.

“Kalau ada ahli farmasi, setiap ubat akan diperiksa secara terperinci dari segi dos, jenis ubat, nama ubat, kekuatan ubat untuk elak risiko salah beri ubat. Sekarang ini semua itu tidak dilakukan di klinik swasta,” katanya yang juga Ketua Pegawai Farmasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kewangan tidak patut jadi isu

Menurut beliau, di bawah sistem DS, jika seseorang pesakit memilih untuk terus ke farmasi tanpa mengunjungi klinik terlebih dahulu, ahli farmasi bertugas perlu bertanya pelbagai soalan berkaitan kesihatan sebelum menjual sebarang ubat kepada pesakit tersebut.

"Kami ahli farmasi turut belajar mengenai tanda dan simptom pesakit bagi sakit ringan," katanya.

Selain itu, Amrahi berkata, isu beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat untuk membeli ubat juga tidak akan timbul walaupun DS dilaksanakan jika sistem kesihatan negara diubah menjadi lebih mesra pesakit.

Katanya, dengan sistem lapuk yang digunakan Malaysia sejak 1950-an sehingga ke hari ini, rakyat akan terkesan dengan kenaikan harga ubat serta kos rawatan di klinik dan hospital swasta kerana terpaksa membayarnya dari poket sendiri.

“Amalan doktor (yang membuka klinik swasta sendiri) dan ahli farmasi (yang memiliki kedai farmasi) perlu diubah. Sekarang ini kedua-dua pihak tidak benar-benar profesional, mereka hanya ahli perniagaan,” katanya.

Menurutnya, bagi memaksa kedua-dua doktor dan ahli farmasi kembali kepada fungsi utama mereka sebagai profesional kesihatan, kerajaan perlu menyatukan klinik swasta, farmasi dan klinik kerajaan dalam satu sistem yang sama supaya pesakit mempunyai pilihan tanpa perlu memikirkan soal bayaran kerana ia akan dibiayai kerajaan.

“Untuk pembiayaan, kerajaan perlu wujudkan sistem kewangan kesihatan nasional dan senarai ubat kebangsaan bagi menentukan ubat mana yang akan dibiayai oleh kerajaan.

“Dana boleh dikumpulkan daripada pelbagai sumber termasuk bayaran bulanan atau tahunan oleh rakyat sendiri untuk berikan lebih akses kepada rakyat. Maknanya sesiapa pun boleh pergi hospital swasta, bukan macam sekarang apabila tiada wang, tiada akses kepada perkhidmatan kesihatan swasta,” katanya yang berkhidmat sebagai pegawai farmasi selama 35 tahun.

Beliau berkata, apa yang berlaku kini adalah klinik swasta langsung tidak dikawal oleh kerajaan sehingga boleh mengenakan caj ubat yang tinggi kepada pesakit.
“Jadi kerajaan perlu kawal harga ubat di sektor swasta.

Mesti ada harga cadangan sebagai rujukan, dan senarai harga ini perlu dipaparkan di laman web,” katanya.

Menurutnya, isu DS sebenarnya bukan perkara baharu kerana MPS pernah menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai isu itu pada 1986, iaitu kira-kira 29 tahun lalu.

“Jelas sekali, kalau kita tengok, keputusan untuk melaksanakan DS ini tertakluk kepada kerajaan.

“Kalau kerajaan nak buat DS, perkara ini mudah. Kalau kerajaan tak nak buat, memang nampak sukar,” katanya.

Farmasi boleh beroperasi 24 jam jika diperlukan

Beliau berkata, sistem kesihatan baharu perlu dibuat mengikut keperluan komuniti bagi rawatan primari iaitu sakit ringan yang hanya memerlukan rawatan di klinik.

“Dalam sistem ini, kita ikut kepadatan dan keperluan penduduk sesuatu tempat. Katalah contohnya sebuah presint di Putrajaya, mungkin ada klinik kesihatan dan klinik swasta. Penduduk boleh pergi ke mana-mana tanpa timbul isu kos kerana dua-duanya adalah sebahagian daripada sistem yang sama.

“Kalau melalui kajian didapati kawasan itu perlukan klinik yang berfungsi 24 jam, farmasi juga perlu berfungsi 24 jam. Kerajaan boleh wajibkan pembukaan farmasi 24 jam melalui sistem baharu ini,” katanya yang turut terlibat secara langsung dengan penggubalan Dasar Ubat Nasional sejak 2006.

Mengulas kebimbangan sesetengah doktor bahawa pengasingan fungsi klinik dan farmasi akan menyebabkan faktor self-medicate (berubat sendiri) dengan pesakit hanya terus membeli ubat di farmasi tanpa ke klinik, Amrahi berkata tindakan itu tidak salah jika orang ramai mendapat pendidikan betul mengenai penggunaan ubat daripada ahli farmasi bertauliah.

“Apa yang kita mahukan dalam sistem ini ialah kecekapan doktor dan ahli farmasi mesti berada pada tahap terbaik bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat lihat doktor sebagai doktor klinikal, dan ahli farmasi juga sebagai ahli farmasi klinikal. Tetapi sekarang ini orang ke farmasi cari produk, sepatutnya mereka cari ahli farmasi,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa ahli farmasi di negara ini tidak mencukupi untuk menjalankan sistem pengasingan tersebut.

“Dahulu masa 1970-an hanya ada sebuah sekolah farmasi iaitu di Universiti Sains Malaysia, sekarang sudah ada 19 sekolah farmasi yang mengeluarkan lebih 1,000 ahli farmasi setahun.

“Sekarang, dalam pendaftaran kita ada 13,000 ahli farmasi, jadi memang mencukupi,” katanya.

Sinar Harian