Friday, 27 March 2015

Punca pesawat germanwings terhempas

PARIS - PERANCIS. Pembantu juruterbang pesawat malang milik Germanwings didakwa sengaja menjatuhkan pesawat tersebut di kawasan pergunungan Alps selepas mengunci juruterbang di luar kokpit.

Bagaimanapun, tiada sebarang petanda insiden tersebut sebahagian daripada kegiatan pengganas, menurut jurucakap rasmi Perancis yang dipetik dari portal BBC.

Menurut pegawai penyiasatan Brice Robin, pembantu juruterbang Andreas Lubitz, 28, sengaja menjunamkan pesawat tersebut sehingga menyebabkan 150 orang terbunuh.

"Pembantu juruterbang tersebut berseorangan dalam kokpit tersebut.

"Dia dengan sengaja enggan untuk membuka pintu kokpit dan dengan sengaja menjunamkan pesawat tersebut,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, penumpang pesawat malang tersebut tidak menyedari situasi tersebut sehingga saat akhir.

"Jeritan tidak kedengaran sehingga di saat akhir. Kesemua enam anak kapal dan 144 penumpang mati serta-merta,” katanya lagi.

Motif pembantu juruterbang tersebut masih belum diketahui, namun pegawai penyiasat menolak kaitan dengan aktiviti pengganas.

Sinar Harian