Tuesday, 17 March 2015

Punca kebanjiran pekerja asing ke negara ini

Kebolehtahanan pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan tidak kekal merupakan antara faktor kebergantungan negara terhadap pekerja asing meningkat tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, selain kekurangan minat pencari kerja tempatan untuk menceburi sektor pekerjaan yang tidak mempunyai nilai komersial, majikan negara ini yang lebih selesa kepada kos murah insentif berasaskan buruh juga merupakan punca statistik jumlah pekerja asing semakin meningkat.

"Sehingga 31 Disember 2014, berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif adalah sehingga 2.07 juta.

"Antara sebab lain yang meningkatkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing adalah disebabkan permintaan tinggi daripada majikan dalam sektor-sektor yang dikategorikan sebagai kritikal dalam keperluan tenaga kerja," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan (Pas-Hulu Langat), Dr. Che Rosli Che Mat, Ismail berkata, dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, kerajaan kini memperketat dasar dan syarat-syarat permohonan dan penggajian pekerja asing terhadap syarikat-syarikat di negara ini.

"Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di barisan hadapan atau frontliner dan kriteria penggajian pekerja asing perlu diselia oleh agensi kawal selia yang menentukan keperluan sebenar pekerja dalam sesebuah sub sektor yang berkaitan.

"Kekosongan sektor-sektor berkenaan perlulah ditawarkan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu melalui portal JobsMalaysia sebelum permohonan pekerja asing dibenarkan," ujarnya.

Mengulas jawapan kepada soalan Che Rosli, jelas Ismail lagi, hanya majikan yang mematuhi ketetapan perburuhan seperti pematuhan gaji minimum, menyediakan kemudahan kediaman, asas dan tiada rekod pelanggaran kes buruhbsahaja dipertimbang memohon pekerja asing.

Che Rosli pada sesi perbahasan Dewan Rakyat menuntut Ismail menyatakan jumlah sebenar pekerja asiing yang terdapat di negara ini dan usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing secara berperingkat.

Sinar Harian