Sunday, 1 March 2015

Pengalaman melabur dalam skim pelaburan....

Lima beradik bingung memikirkan nasib ibu mereka yang terjebak dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan hampir RM1 juta walaupun hanya melabur sebanyak RM250.

Anak wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ida mendakwa, pulangan pelaburan meragukan itu kerana sejak terlibat dengan pelaburan itu empat tahun lalu, ibunya belum pernah menerima sesen pun hasil, malah wang terus dilaburkan secara tunai.

Ida melihat antara kandungan SMS yang dihantar wakil skim pelaburan yang mempengaruhi ibunya supaya melabur.
Lebih parah lagi, ibunya terpaksa menutup kedai runcit diusahakan kerana tiada lagi pusingan modal selain dipercayai meminjam wang daripada ceti haram untuk melabur.

Menurut Ida, ibunya mudah terpengaruh dan sanggup memasukkan wang ke dalam satu akaun bank milik persendirian yang didalangi skim berkenaan apabila disuruh.

“Saya hanya tahu emak masuk skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘masuk dana’ itu beberapa bulan lepas. Saya terkejut bila dia tahu rupanya dah empat tahun emak melabur hampir RM13,000.

“Setiap kali kami adik-beradik tanya tentang pulangan, dia akan cakap nak dekat dapat dah tapi pengurusan skim pelaburan asyik minta dia masukkan duit dan beritahu proses pengeluaran pulangan ‘sangkut’ di pihak bank,” katanya.

Dia yang ragu-ragu dengan jawapan ibunya menyiasat isi kandungan sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar wakil skim pelaburan ke telefon bimbit ibunya.

Kata Ida, syarikat itu dipercayai berpangkalan di Shah Alam namun ibunya enggan mendedahkan lokasi sebenar selain menyembunyikan beberapa perkara lain apabila ditanya.

"Tapi setiap kali hendak ke pejabat pengurusan, ada kenderaan akan datang ambil mak di rumah. Saya rasa mereka sasarkan golongan yang tidak terdedah dengan dunia luar, selain mereka yang kemaruk untuk dapat wang cara mudah," katanya yang tinggal di satu kawasan terpencil di sebuah daerah di negeri ini.

Menurut Ida, dia tidak pasti ibunya dipukau ketika diajak menyertai skim itu, tetapi sehingga kini ibunya sering kehabisan wang meski menerima wang bulanan wang bulanan daripada anak-anak.

Mesin jahit dan beberapa peralatan rumah turut dijual ibunya dipercayai untuk menambah duit pelaburan.

Kata Ida, ramai mangsa yang turut menyertai skim itu malah difahamkan ada yang membuat pelaburan lebih 10 tahun namun tidak pernah mendapat pulangan dan pelbagai alasan diberikan pihak penganjur skim.

"Sebagai anak saya sedih emak saya diperdaya. Mereka tipu warga emas yang mudah dipengaruhi kononnya dapat pulangan ribuan ringgit dalam masa singkat. Tapi hasilnya tiada," katanya dengan nada kesal.