Friday, 27 March 2015

Penceroboh dakwa miliki senjata mencukupi untuk menawan Sabah

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kumpulan lelaki bersenjata Sulu, yang menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu kira-kira dua tahun lepas, mendakwa mereka memiliki cukup senjata untuk menimbulkan keadaan huru-hara di Sabah.

Pegawai Penyelia Unit Pemintasan Komuniksi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, Asisten Superitendan Muhammad Fauzairi Jaidi berkata dalam perbualan telefon yang dipintas pada 6.56 petang 18 Februari 2013, seorang suspek, Salib Akhmad Emali, memberitahu seorang lelaki tidak dikenali bahawa para penceroboh itu mempersiapkan senjata untuk melancarkan satu peperangan.

"Salib berkata 'mereka' mempersiapkan lima kampit baja, sembilan senjata besar, empat 'senjata 50', lima 'senjata 30' dan lima 'senjata 60', yang cukup untuk 'memusnahkan' Sabah," katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan itu.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota bagi sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.      

Muhammad Fauzairi berkata lelaki tidak dikenali itu, yang digelar polis sebagai 'lelaki Sabah', memberi respons kepada Salib dengan berkata 'Najib', yang polis percaya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, "akan menugaskan askarnya (Najib), tapi mereka tidak tahu kekuatan senjata kita.       

Pegawai SB itu memberi penjelasan tentang kandungan komunikasi yang dipintas unitnya selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Muhammad Fauzairi berkata dalam perbualan telefon antara Salib dan seorang individu dirujuk sebagai 'Raja' yang dipintas itu, Raja menasihati Salib dan mungkin juga beberapa orang lain supaya mengambil tindakan tertentu di kawasan masing-masing.

"Raja berkata dia tidak akan berundur (dari Kampung Tanduo) dan keputusan muktamad terletak di tangan Sultan Jamalul Kiram di Manila.

"Raja seterusnya memberitahu Salib bahawa SB sudah sampai pagi itu (16 Februari 2013) dan menyuruh mereka kembali ke tempat asal mereka datang. 

"Raja juga berkata walaupun Salib dan yang lain-lain tidak dapat datang (ke Kampung Tanduo), maka (mereka boleh) 'memulakan' di kawasan masing-masing," katanya tentang panggilan telefon yang dipintas pada 3.51 petang 16 Februari 2013.   

Muhammad Fauzairi berkata dalam satu lagi perbualan telefon yang dipintas pada 18 Februari 2013, adalah difahamkan Salib bersiap sedia untuk berperang.   

"Salib berkata kepada Raja bahawa sekiranya kawasan 'kita' diserang, dengan nama Allah, maka peperangan akan berlaku," katanya bagi merujuk kepada perbualantelefon yang dipintas unitnya pada 6.47 petang. 

Kata saksi berkenaan, pada malam itu, Salib memberitahu Raja dia mendapat tahu daripada berita televisyen bahawa 'Musa Aman', dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, tidak mahu berlaku sebarang pertumpahan darah.

Muhammad Fauzairi berkata, dalam satu panggilan telefon yang dipintas pada 8.30 pagi 20 Februari 2013, Salib memberitahu Raja bahawa orang dari Kerajaan Malaysia berada di ladang sawit dan membuat pemerhatian melalui teropong.

Beliau berkata Salib juga memberitahu Raja bahawa 'mereka', dipercayai merujuk kepada Kerajaan Malaysia, mempunyai 3,000 lelaki.

Kata saksi itu, pada pagi berikutnya (21 Februari 2013), Salib memberitahu Raja bahawa dia (Salib) sedang dicari polis.

"Raja memerintahkan Salib mengasah parangnya dan melawan balik jika mereka (polis) datang," katanya. 

Dalam satu perbualan telefon antara Salib dan seorang lelaki dikenal pasti sebagai anaknya, kata Muhammad Fauzairi, Salib meminta lelaki itu agar tidak mengaku bahawa Salib adalah bapanya sekiranya para pegawai kerajaan datang mencarinya (Salib).

Saksi itu berkata, dalam satu lagi perbualan telefon, seorang individu dikenali sebagai Datu Bahang, memberi tahu Salib supaya menyerah diri jika benar polis ingin menangkapnya. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

Sinar Harian