Thursday, 26 March 2015

Pemangsa enam ekor anak lembu yang hilang akhirnya berjaya ditangkap

KLANG - Misteri kehilangan enam anak lembu milik penduduk akhirnya terjawab dengan tertangkapnya seekor buaya tembaga sepanjang tiga meter, di kawasan perumahan awam, Jalan Kampung Sungai Kandis, Kampung Jawa, malam kelmarin.

Penduduk mendakwa haiwan itu telah membaham enam lembu berkenaan yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Selangor, Leftenan Kolonel Khairil Izzwan Abdul Rahman berkata, setelah sekian lama berusaha, akhirnya penduduk berjaya menangkap buaya berkenaan.
Khairil Izzwan (kanan) sedang melihat buaya sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap penduduk, malam kelmarin.
“Beberapa jam sebelum itu, penduduk memaklumkan mereka telah ternampak kelibat buaya di kawasan perangkap sampah di sungai di kawasan tersebut dan menghubungi pihak kami (JPAM) untuk tangkapan.

“Selepas itu kami dimaklumkan buaya itu gagal dikesan sehinggalah sekali lagi kami menerima panggilan memaklumkan buaya itu berjaya ditangkap penduduk,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, anggota JPAM seramai lapan orang diketuai Pegawai Sukarela, Wan Harun Wan Jaafar ke lokasi berkenaan.

“Penduduk mengikat haiwan itu menggunakan tali. Kami kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi memastikan haiwan itu tidak terlepas dan sekitar jam 10.15 malam ia berjaya dibawa ke JPAM Klang, di Jalan Raya Barat,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya haiwan itu, pihaknya percaya ia dapat menyelesaikan kes kehilangan lembu penduduk yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Sinar Harian