Thursday, 19 March 2015

Pelanggan Maybank tidak dikenakan GST semasa guna ATM Maybank

KESEMUA pelanggan Syarikat perbankan Maybank akan menikmati pengecualian caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerusi penggunaan ATM Maybank mulai 1 April ini.

Bagaimanapun memetik kenyataan dari Maybank, kadar cukai enam peratus GST masih akan dikenakan terhadap pelanggan Maybank yang membuat urusan perbankan menerusi ATM dari syarikat perbankan lain.

“GST merupakan cukai penggunaan yang akan ditanggung oleh pengguna. GST hanya boleh dikenakan oleh perniagaan yang telah mendaftar untuk GST di negara ini. 

“Kumpulan Maybank merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah GST, justeru kami perlu melaksanakan cukai baru ini bermula 1 April depan. 

“Bagaimanapun pelanggan hanya akan dikenakan cukai GST sekiranya mereka membuat urus niaga perbankan di ATM selain Maybank,” katanya. 

Bagaimanapun, bagi pemegang kad Maybank yang tidak dikenakan yuran tahunan sebanyak RM8 akan dikenakan kadar 53 sen termasuk caj GST pada transaksi kelima setiap bulan.

Bagi penggunaan aplikasi perbankan internet Maybank2u.com pula, pelanggan Maybank tidak akan dikenakan sebarang caj GST pada urusan pemindahan wang ke akaun Maybank lain.

Namun pelanggan akan dikenakan caj enam peratus GST jika melakukan pemindahan ke akaun lain selain Maybank. 

“Kumpulan Maybank akan melaksanakan GST terhadap semua bekalan barangan dan/atau perkhidmatan yang mana perlu, selain daripada yuran dan caj-caj lain yang kami kenakan.

“Kami akan mengeluarkan invois cukai di mana GST akan dikenakan, selaras dengan peruntukan Akta GST 2014. Umumnya, sebahagian besar daripada perkhidmatan kami yang berasaskan yuran adalah tertakluk kepada GST pada kadar 6 peratus, manakala bayaran faedah pula akan dikecualikan cukai,” jelasnya lagi.

Manakala penjelasan bil yang dibuat menerusi perbankan internet Maybank2u.com pula akan dikenakan caj GST.

“Ia tertakluk kepada terma dan syarat. Sekiranya sebelum ini pelanggan menjelaskan bil tersebut tanpa apa-apa caj, selepas pelaksanaan GST nanti pelanggan masih tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan.

“Bagaimanapun jika sebelum ini pelanggan sememangnya dikenakan caj tambahan untuk membuat pembayaran bil  kami terpaksa mengenakan GST pada kadar caj tersebut,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai GST boleh juga didapati di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia di www.gst.customs.gov.my. Atau pelanggan boleh menghubungi pihak Maybank menerusi email di gst_askme@maybank.com.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan kami di 1-300 88 6688 atau 603-7844 3696 (luar negara).

Sinar Harian