Saturday, 28 March 2015

Menghidap kanser hidung, semoga adik ini tabah

KULIM - Jika dahulu Mohd Ihsan Abd Ghuppar, 20, aktif dalam sukan, namun sejak mendapat tahu dirinya menghidap kanser hidung segala aktiviti  terpaksa dihentikan.

Mohd Ihsan mendapat kanser hidung sejak berumur 17 tahun apabila hidungnya sering mengeluarkan darah dan berhingus serta di dalam rongga hidungnya bengkak.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak tahu menghidap kanser dan apabila ke klinik dia hanya diberi ubat biasa untuk hentikan pendarahan di hidung.
Robiah tidak sanggup melihat anaknya Mohd Ihsan menahan sakit akibat menghidap kanser hidung tahap empat.

“Namun, ketika saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kesihatan saya semakin menurun kerana terdapat ketumbuhan di dalam hidung sekali gus menyukarkan saya untuk bernafas.

“Saya kemudiannya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan itu, doktor memberitahu saya mengidap kanser hidung. Ketika itu saya rasa dunia gelap seketika dan tidak sangka menghidap penyakit itu pada usia muda,” katanya.

Katanya, walaupun dia menghidap kanser, namun bukan halangan untuknya meneruskan pelajaran ke institut kemahiran selepas tamat SPM.

"Kini saya  sukar untuk bergerak dan terpaksa menangguhkan pelajaran untuk menjalankan kemoterapi," katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia  menaiki motosikal ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, namun kini dia perlu ditemani ibu kerana sering pening.

"Doktor mengesahkan kanser yang saya hidapinya sejak hampir lima tahun lalu berada di tahap empat dan sudah merebak ke seluruh badan.

“Apa pun saya pasrah dan reda dengan ujian yang diberikan ALLAH dan tidak akan berputus asa untuk berubat,” katanya.

Ibunya yang juga ibu tunggal Robiah Hashim, 53, berkata, dia tidak mampu menanggung kos perjalanan membawa Mohd Ihsan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dan gaji yang diperoleh tidak seberapa.

“Kalau nak ke hospital atau membuat rawatan, saya terpaksa menumpang saudara mara terdekat kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

"Saya amat berharap ada pihak prihatin sudi memberikan bantuan untuk meringankan beban saya sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank BSN : 02004-41-00002525-9 atas nama Mohd Ihsan Abd Ghuppar.

Sinar Harian