Thursday, 19 March 2015

Mangsa ragut kritikal

Seorang suri rumah yang menjadi mangsa ragut di Taman Bukit Dahlia Pasir Gudang Ahad lalu masih dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Suaminya, Kelana Bakri, 50, berkata, keadaan isterinya, Faridah Harith, 47, agak kritikal apabila doktor terpaksa menebuk paru-parunya yang dikesan berlaku pendarahan.

Menurutnya, Faridah pada kondisi semalam demam selepas menjalani pembedahan tangan kanannya yang patah selama lima jam kelmarin.

“Doktor masih menunggu keadaan Faridah stabil untuk menjalankan pembedahan paru-parunya yang dikesan berlaku pendarahan.

“Dia sedar dan boleh berbual, tetapi doktor nasihatkan agar dia tidak banyak bercakap dan bergerak kerana keadaan tulang belakangnya yang patah agak serius,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelana berkata, dia sebenarnya masih terkejut dengan insiden yang berlaku terhadap isterinya kerana itu kali pertama isteri menunggang motorsikal bersama anak membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, biasanya isteri akan bersamanya menaiki kereta ke pasaraya berkenaan untuk membeli barangan dapur.

“Saya tak terkilan, cuma masih terkejut insiden malang ini berlaku terhadap isteri saya.

“Kebetulan pada malam kejadian saya bekerja, jadi saya minta dia belanja barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampong keesokkan harinya bersama anak sulung,” katanya.

Katanya, dia masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak polis berhubung perkembangan siasatan kes membabitkan isterinya itu.

“Saya belum dapat apa-apa info berkaitan siasatan daripada pihak polis.

“Saya minta siasatan terperinci dapat dilakukan untuk membawa penjenayah itu ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung laporan kes ragut di Taman Bukit Dahlia Pasir Gudang itu dan siasatan masih diteruskan.

Sinar Harian Isnin lalu menyiarkan seorang ibu dan anak yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motorsikal pulang dari membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya sekitar jam 8.30 malam.

Mangsa dikejarkan ke HSI selepas mengalami kecederaan serius akibat terjatuh daripada motosikal sebaik ditendang dua peragut yang menarik beg tangan yang disembunyikan di dalam tudungnya.

Sinar Harian