Friday, 13 March 2015

Maaf pak cik. Mama dengan ayah tiada di rumah

KAMI suami isteri pulang agak lewat malam itu, terlupa pula membawa kunci rumah. Namun, dalam hati kami berdoa mudah-mudahan anak-anak perempuan yang ditinggalkan di rumah masih belum tidur. 

Kami mengetuk pintu bertalu-talu tetapi tiada tanda-tanda ia akan dibuka. Puas memetik loceng dan mengetuk pintu, akhirnya terdengar sayup-sayup suara Sara Fateha, anak perempuan sulung kami.

“Siapa?” Sara bertanya di sebalik pintu.

“Saya. Pak cik Zaki.” Suami menggaraukan suara bertujuan bergurau dengan anak perempuannya.

“Maaf pak cik. Mama dengan ayah tiada di rumah.” Sara berkata tanpa membuka pintu.

Kami memandang sesama sendiri. Lega dengan tindakannya. Pintu dibuka apabila kami berterus terang. Ketika berehat dan berbual-bual sebentar di ruang tamu, tiba-tiba Sara bercerita:

“Ayah, ada seorang pak cik datang mengetuk pintu rumah selepas waktu Asar. Katanya, beliau sahabat ayah. Saya cuba menelefon mendapatkan kepastian jika ayah mengizinkan untuk membuka pintu, tetapi telefon bimbit ayah tidak dapat dihubungi. Akhirnya saya membuka selak pintu apabila beliau berkata mahu mengirim buku untuk ayah.”

Allah...sekali lagi kami terkedu. Memang begitu didikan diberikan kepada anak-anak perempuan. Kami sering berpesan agar tidak sewenang-wenangnya membuka pintu menerima tetamu tidak diundang. Setiap tetamu harus dikenal pasti kehadirannya. Kami tidak gemar kepada kejutan.

Namun, ia berbeza jika yang berkunjung terdiri daripada adik-beradik kandung sendiri. Kebiasaannya, mereka memaklumkan kehadiran terlebih dahulu. Lalu, suami berpesan agar anak-anak perempuan mengizinkan mereka masuk dan terus menghidangkan minuman. 

Suami sering berpesan, “Mereka ibu dan bapa saudara awak. Layani mereka sebaik-baiknya jika ayah dan mama tiada di rumah.”

Ilmu

Menerima tetamu tidak diundang barangkali bukan perkara pelik atau asing di negara sendiri berbanding orang-orang Arab. Inilah salah satu ilmu besar melekat di sanubari ketika kami bermukim di Madinah al-Munawwarah. Sama ada tetamu atau tuan rumah, kunjungan harus dimaklumkan bagi melakukan persediaan.

Bagi kaum wanita Arab, mereka biasanya meminta izin suami terlebih dahulu sama ada mahu menerima tetamu atau berkunjung ke rumah rakan. Pernah suatu ketika, saya dan anak perempuan dijemput ke rumah jiran selepas waktu Isyak. 

Kami mendapati tetamu-tetamu wanita dihantar oleh suami masing-masing. Tuan rumah pula keluar dengan membawa anak lelaki remajanya bagi memberi laluan kepada isteri dan rakan-rakan mereka di rumah.

Allah...ya Allah. Saya pernah terbaca kisah bagaimana anak perempuan kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah al-Zahrah juga pernah ditolak kunjungannya ke sebuah rumah seorang wanita mulia ahli syurga. Rasulullah SAW meminta anak perempuannya melihat sendiri bagaimana perlakuan dan akhlak wanita tersebut.

Akhirnya Fatimah al-Zahrah mempelajari bagaimana contoh ketaatan wanita sebagai isteri yang perlu diteladani. Wanita itu hanya membuka pintu bagi tetamu masuk ke rumah setelah mendapat keizinan suaminya. Fatimah gagal kali pertama untuk diterima sebagai tetamu wanita itu.

Kunjungan kali kedua, beliau tidak dibenarkan masuk kerana membawa anak lelakinya yang masih kecil.

“Maaf, saya fikir puan seorang sahaja mengunjungi rumah kami. Saya perlu meminta izin suami dahulu jika puan mahu membawa bersama anak lelaki ini.”

Subhanallah! Diam-diam saya bertanya kepada diri. Apakah saya cukup kuat untuk melakukan perkara itu seperti wanita ahli syurga yang diterangkan Rasulullah SAW melalui pengajarannya kepada Fatimah al-Zahrah?

Berapa ramai rakan wanita menerjah datang ke rumah ketika waktu rehat pada hari Jumaat? Namun, berapa ramai pula tidak mampu menolak sebelum meminta keizinan suami bagi membenarkan rakan mereka masuk ke rumah? Hati tersentap apabila dibacakan surah An-Nuur, ayat 27 dan 28. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

“Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka, janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”

Benar, reja kehidupan semakin susut. Dalam usia tersisa, diri terasa berdosa kerana telah banyak melakukan kesalahan sedangkan Allah SWT telah berpesan dalam al-Quran pelbagai adab yang sepatutnya dilakukan ketika bertandang. Hari ini kami berpesan bersungguh-sungguh, moga zuriat keturunan tidak mengulanginya lantaran ceteknya ilmu di dada.

Ya Allah, daku mohon keampunan-Mu.

Oleh: Prof MUHD. KAMIL IBRAHIM dan Puan ROZA ROSLAN