Sunday, 15 March 2015

Lelaki OKU maut diserang gajah di Kota Tinggi, Johor

Selepas lebih setengah abad berlalu, peristiwa sama berulang kembali apabila seorang lelaki OKU ditemui tidak bernyawa dipercayai diserang gajah liar di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, dekat sini, dalam kejadian awal pagi semalam.

Mangsa, Roslan Kamar, 32, ditemui di kawasan kebun tepi jalan utama kampung itu dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang, kira - kira 1.6 kilometer dari rumahnya.

Turut kelihatan, beberapa kesan tapak kaki gajah berhampiran tempat mangsa dijumpai dengan tanaman kelapa sawit telah rosak dipercayai dimakan haiwan liar tersebut.

Difahamkan, kejadian sama yang menimpa mangsa adalah kali kedua berlaku di perkampungan tersebut selepas kejadian pertama pada tahun 40-an, di mana seorang mangsa maut akibat dipijak gajah.
Mayat mangsa dijumpai dalam parit sebuah kebun di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, pagi semalam

Bapa mangsa, Kamar Mahasin, 54, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan penduduk kampung, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka anak kedua daripada 13 beradik itu menjadi korban serangan haiwan liar tersebut.

“Selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh penduduk kampung, saya segera ke tempat kejadian dan melihat mayat anak berada dalam parit di kebun itu.

“Dua hari lepas memang ada kejadian gajah masuk kampung. Saya sendiri pernah terjumpa seekor gajah sedang makan tanaman penduduk,” katanya kepada Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.

Kamar berkata, masalah serangan gajah liar di kawasan itu telah berlarutan sejak sekian lama malah ia sudah sering diadukan kepada pihak berkenaan.

Tegasnya, apa yang diharapkan ada tindakan lebih drastik, bukan sekadar pemantauan daripada pihak berkenaan agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk untuk dikebumikan, petang semalam.

Ekoran kejadian itu, Kamar turut membuat laporan di Balai Polis Kuala Sedili.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian