Sunday, 15 March 2015

Kutipan bayaran PTPTN RM5 juta sehari

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan jumlah kutipan harian bayaran pinjaman balik mengunjur daripada RM800,000 kepada RM5 juta sehari.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peningkatan itu adalah susulan pengumuman berhubung penyenaraian peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), mulai 1 Januari lalu.

Menurutnya, berdasarkan prestasi bayaran balik sekarang, berlaku peningkatan kutipan harian yang sebelum ini sekitar RM2.5 juta sehari, meningkat kepada RM3.5 juta dan terbaharu adalah RM5 juta.

“Kita harap trend kutipan seperti ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana reaksi positif ini membolehkan PTPTN melakukan beberapa penambahbaikan dari segi perkhidmatan dan produknya.

“Tindakan yang kita buat  nampaknya positif kerana kutipan diperoleh selepas itu meningkat dengan banyak, malah satu pengumuman tentang beberapa pendekatan baharu akan kita buat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyambut konvoi Jelajah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata, lebih 173, 956 peminjam yang langsung tidak pernah membayar pinjaman mula menjelaskan pinjaman, sama ada secara keseluruhan atau konsisten setiap bulan.

“Apa kita laksanakan sekarang menunjukkan langkah yang kita ambil tepat dan betul kerana angka tidak membayar langsung semakin berkurangan. Peminjam ini sebenarnya mampu, mungkin ada beberapa sebab menyebabkan mereka gagal berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin sekiranya pendekatan diambil jelas dan tepat, peminjam boleh membuat bayaran balik.

"Bagaimanapun kita masih berpegang kepada apa yang kita tetapkan kerana peluang sebelum ini kita sudah beri,” katanya.

Menurutnya, PTPTN memerlukan RM5.88 bilion dana pinjaman dalam masa setahun dan tindakan diambil bagi memastikan aliran kewangan dalam keadaan baik.

Sinar Harian