Thursday, 5 March 2015

KTM komuter alami gangguan ekoran kerja naik taraf

Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan atau kelewatan waktu perjalanan di antara laluan Segambut-KL Sentral-Salak Selatan sejak Isnin hingga 30 April depan.
   
Menurut KTM dalam kenyataan di sini hari ini, gangguan tersebut disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem persemboyanan yang sedang dijalankan di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan tren di masa hadapan.
   
"Dalam tempoh ini, perkhidmatan KTM komuter di kedua-dua laluan iaitu Batu Caves-Pelabuhan Klang dan Rawang-Sungai Gadut berkemungkinan akan mengalami kelewatan lima hingga sepuluh minit.
   
"Pembatalan perkhidmatan juga dijangka akan berlaku. Bagaimanapun, KTM akan sedaya-upaya meminimumkan gangguan atau kelewatan perkhidmatan tren ketika kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
   
Orang ramai boleh melayari laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan KTM melalui talian 1-300-88-5862 untuk maklumat lanjut. 

Sinar Harian