Friday, 20 March 2015

Kejam! Ibu sumbat bayi dalam tin biskut

Seorang ibu tergamak menyembunyikan kelahiran selain bertindak kejam memasukkan bayi yang baru lahir ke dalam beg kain sebelum disumbat ke dalam tin biskut yang dibalut plastik.

Kejadian itu disedari setelah pengurusan asrama sebuah pusat bimbingan, di sini, menemui mayat bayi terbabit dalam tin biskut, kira-kira 11 pagi semalam.

Pemeriksaan dijalankan pada tin biskut tempat mayat bayi terbabit ditemui.
Difahamkan, ibu bayi berusia 20-an berasal dari Sabah, baru sahaja berdaftar masuk menjadi penghuni asrama, September lalu.

Bagaimanapun, wanita itu disyaki mengandung terlebih dahulu sebelum masuk ke pusat bimbingan tersebut tetapi kandungannya tidak disedari penghuni lain.

Rakan seasrama yang enggan dikenali berkata, beberapa rakan sebilik menyedari kelainan pada tubuh wanita itu sejak beberapa bulan lalu dan bertanyakan sama ada dia mengandung, namun dinafikan.

“Bagaimanapun, ada rakan yang curiga dan menyedari sesuatu yang pelik dan dia membuat pengakuan hari ini (semalam) mengatakan dia telah melahirkan anak,” katanya.

Menurutnya, susulan pengakuan tersebut, pencarian dilakukan pengurusan asrama sebelum menemui mayat seorang bayi disumbat dalam tin biskut sebelum disembunyikan di tingkat atas tangki air pusat bimbingan.

Susulan itu, pengurusan asrama kemudian menghubungi pasukan polis memaklumkan penemuan berkenaan.

Difahamkan, mayat terbabit dipercayai disembunyikan sejak dua hari lalu antara jam 9 hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, polis akan menyiasat perkara berkenaan.

Menurutnya, mayat bayi lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.

“Sementara itu, ibu bayi terbabit juga dibawa ke HSAH bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kita masih menyiasat secara terperinci sama ada bayi tersebut meninggal dunia terlebih dahulu ataupun dilahirkan tanpa cukup bulan,” katanya.

Sinar Harian