Saturday, 28 March 2015

Kebakaran di Semporna, mangsa menerima sumbangan RM100,000

SEMPORNA - Sebanyak 297 ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini, menerima wang tunai RM100,000 sumbangan peribadi Adun Bugaya Datuk Ramlee Marhaban.

Ramlee berkata, sumbangan berkenaan untuk meringankan beban dan penderitaan yang dialami kira-kira 2,600 mangsa yang terbabit dalam musibah itu.

"Kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa. Oleh itu kerajaan negeri akan pastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.



Beliau berharap kesemua mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa mereka serta sentiasa menjaga kesihatan ketika berada di pusat pemindahan sementara.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Rabu lepas, 233 rumah atas air musnah dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah menasihatkan agar semua pemimpin masyarakat di daerah itu mangambil langkah berjaga-jaga dalam isu keselamatan kampung, untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

"Selain itu saya berharap semua penduduk dapat bersatu padu dan mengamalkan sikap tolong-menolong dalam menghadapi kesukaran ketika diuji dengan musibah yang tidak diduga," katanya. 

Sinar Harian