TUMPAT - “Walaupun baru setahun dia belajar al-Quran di Masjid Kampung Laut, alhamdulillah dia sudah khatam 30 juzuk al-Quran,” kata Nasirizal Mohd Nasir, 42, ibu kepada Mohd Adib Che Daud.
Mohd Adib, 7, merupakan pelajar termuda dari kelas al-Quran di Masjid Kampung Laut, berjaya khatam al-Quran, kelmarin.
![]() |
Wan Mat Zain mengetuai majlis khatam a-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut, Tumpat, kelamarin. Gambar kecil: Mohd Adib. |
Menurutnya, ia melakar sejarah tersendiri kerana dua anaknya khatam serentak sempena majlis khatam al-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut.
“Ia anugerah ALLAH apabila Mohd Adib mampu habiskan 30 juzuk al-Quran hanya dalam masa setahun.
“Kelebihan itu saya kesan ketika Mohd Adib berusia lima tahun lagi. Ketika berumur enam tahun dia mengikuti kelas al-Quran di masjid ini,” katanya yang mempunyai tujuh anak.
Sementara itu, Imam Masjid Kampung Laut, Wan Mat Zain Wan Yusof berkata, 43 pelajar berjaya khatam al-Quran tahun ini.
Menurutnya, majlis khatam al-Quran lebih meriah kerana turut diadakan majlis perarakan, persembahan nasyid dan kuiz yang turut dihadiri ibu bapa.
“Khatam al-Quran mendapat kerjasama Kumpulan Media Karangkraf yang mengaktifkan Rumah Ngaji di masjid ini,” katanya.
Menurutnya, 350 pelajar yang mengikuti kelas al-Quran yang dibahagikan kepada tujuh kelas dengan tujuh tenaga pengajarnya.
“Kelas al-Quran ini diwujudkan sejak 10 tahun lalu dengan pelajarnya berusia 6 tahun hingga 13 tahun,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment