Saturday, 14 March 2015

Jangan tinggalkan daku, sayangku...

Masyarakat digesa tidak melepaskan sepenuhnya tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka yang telah berusia kepada institusi kebajikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.
    
Beliau berkata, sebaliknya anak-anak perlu bersama-sama memainkan peranan memberi sokongan secara berterusan bagi membantu golongan warga emas berkenaan meneruskan sisa kehidupan mereka dengan gembira dan bersemangat.
    
"Kita tidak menyalahkan anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua kerana kita faham ada segilintir mereka terpaksa manghadapi masalah kewangan atau kesusahan untuk mengurus warga emas.
Gambat hiasan

"Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak harus melawat ibu atau bapa mereka agar tidak rasa dipinggirkan, sedih dan putus asa untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita di sini.
    
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Rumah Seri Kenangan Cheng di sini yang turut dihadiri Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Zulyadain Limat.

Rekod daripada Rumah Seri Kenangan Cheng menunjukan daripada 176 penghuni warga emas rumah berkenaan, sebanyak 103 orang tidak menerima kunjungan anak-anak atau anggota keluarga walaupun mereka masih mempunyai keluarga.
    
Mei Fun berkata, kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut perlu dipertingkat namun ia terletak pada sikap dan rasa tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka.
    
Beliau berkata, ini kerana pihaknya bimbang sekiranya tiada rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa, ia akan menjadi trend atau penyakit dalam jiwa anak-anak sekali gus mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.
    
Menurutnya menjadi keutamaan kerajaan memastikan warga emas yang tidak mempunyai anggota keluarga dijaga dengan baik di pusat penjagaan orang tua di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
    
Justeru, katanya ibu bapa tua yang tidak mampu dijaga dan diurus dengan baik oleh anak-anak mereka akan diterima masuk ke pusat berkenaan, namun siasatan akan dilakukan agar tidak berlakunya penderaan atau pengabaian. - Bernama