Wednesday, 18 March 2015

Israel tidak akan iktiraf Palestin sebagai sebuah negara

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau tidak akan mengiktiraf pembentukan negara Palestin jika memenangi pilihan raya negara tersebut.

Tindakan beliau dilihat cuba memancing undi bagi mengetepikan parti berhaluan kiri, Kesatuan Zionis beberapa jam sebelum hari pengundian, semalam.

Netanyahu berkata, tindakan menyerahkan tanah kepada orang Palestin akan membahayakan Israel kerana memudahkan negara itu diserang oleh puak ekstremis Islam.

"Kita akan terus mengukuhkan Baitulmaqdis. Jadi, ia tidak akan diserahkan kepada Palestin," katanya.

Beliau turut berikrar untuk tidak membenarkan rakyat Palestin menubuhkan ibu negara di sektor timur selain berjanji membina beribu-ribu penempatan haram Yahudi.

Status Baitulmaqdis merupakan isu sensitif yang menghalang usaha damai Palestin-Israel sejak beberapa dekad lalu.

Palestin mahu menubuhkan negara Palestin di Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, manakala Israel mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dibahagi.

Sepanjang kempen pilihan rayanya, Netanyahu berulang kali menuduh pemimpin Kesatuan Zionis, Isaac Herzog dan bekas ketua perunding damai, Tzipi Livni bersedia untuk menggugurkan tuntutan Israel ke atas Baitulmaqdis. - AFP

Sinar Harian