Tuesday, 24 March 2015

Ingatannya hanya bertahan 5 minit sahaja

MALANG bagi seorang pemuda Taiwan apabila tahap ingatannya hanya mampu bertahan selama lima minit. Chen Hongzi, 25, mengalami masalah itu selepas terbabit dalam kemalangan kereta lapan tahun lalu.

Akibat penyakit amnesia itu, Hongzi terpaksa menulis aktiviti hariannya di dalam sebuah buku.

Katanya, hanya dengan cara itu sahaja dia mampu mengingati apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Malah, setiap kali bangun daripada tidur, ibunya, Wang Miao-chiong sering mengingatkan Hongzi bahawa dia bukan lagi berusia 17 tahun.

"Setiap hari saya akan catat perkara penting yang saya buat. Tahap ingatan saya lemah, selepas 10 minit saya tidak mampu mengingati apa-apa," katanya.

Kisah Hongzi menarik perhatian pengguna laman sosial di China dan ramai membandingkannya dengan filem Before I Go to Sleep lakonan Nicole Kidman.

Filem berkenaan menceritakan kisah seorang wanita yang hilang ingatan sebaik bangun dari tidur, disebabkan trauma akibat kemalangan kereta 10 tahun lalu.

Sinar Harian