Saturday, 28 March 2015

GST tidak bebankan petani, penternak atau nelayan - Datuk Seri Ismail Sabri

BERA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April ini tidak membebankan petani, penternak atau nelayan malah golongan tersebut akan terus mendapat pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan.

Katanya, walaupun terdapat sedikit kenaikan harga produk dan peralatan pertanian, tetapi ia tidak akan memberi kesan buruk ke atas pendapatan golongan tersebut kerana mereka akan turut menikmati hasil yang baik dan lumayan.

"GST tidak akan memberi kesan besar sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan yang tinggi. Bagi golongan petani, peladang kebanyakannya sudahpun membeli alat jentera dan pembelian jentera itu adalah dalam jangka masa panjang.

"Meskipun racun dan baja turut dikenakan GST, kerajaan akan terus memberi bantuan baja dan racun kepada golongan petani kecil dari semasa ke semasa supaya dapat meningkatkan pengeluaran masing masing," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak di sini hari ini.  

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan dan membela nasib golongan petani, penternak dan nelayan di negara ini agar mereka tidak terbeban, malah pelbagai bantuan dan insentif diberikan setiap tahun.

"Pelbagai bantuan dan inisiatif itu akan terus dilaksanakan selain pelbagai pendekatan baharu membantu mereka akan dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan GST tidak akan mengubah hasrat kerajaan menurunkan harga jualan di pasar tani seluruh negara memandangkan peniaga terlibat tidak akan dikenakan cukai berkenaan.

Katanya lagi, bermula Jun ini semua peniaga pasar tani di seluruh negara diarahkan supaya tidak bergantung kepada pemborong dan mengambil terus produk jualan daripada ladang dan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi membantu memasarkan barangan mereka terus kepada pengguna dengan harga berpatutan. 

Sinar Harian