Saturday, 14 March 2015

Brek bas tidak berfungsi punca kemalangan rombongan USM di Acheh


Kemalangan berlaku apabila pemandu bas yang dinaiki rombongan warga Universiti Sains Malaysia (USM) cuba mengelak merempuh kereta yang berhenti mengejut.

Menceritakan semula detik kejadian, Shaik Abdul Rahman Shaik Abdul Wahab, 23, berkata ketika itu dia berdiri bersebelahan Muhamad Izzamir Nabihan yang kelihatan letih selepas menyertai pelbagai aktiviti sepanjang hari.

"Tiba-tiba sebuah kereta di depan bas kami berhenti mengejut dan pemandu cuba membrek tetapi kenderaan itu terus bergerak sehingga terbabas dan terjunam ke tebing jalan.
Rakan-rakan dan saudara-mara mengiringi jenazah Muhamad Izzamir Nabihan dari LTABL ke rumah bapa saudaranya di Taman Abdullah Fahim.

Suasana jadi kecoh bila bas terbalik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, semalam.

Terdahulu, Shaik Abdul Rahman bersama 22 pelajar lain dan pensyarah USM tiba di LTABL dari Indonesia kira-kira jam 4.10 petang semalam.

Mereka kemudiannya menjalani ujian saringan kesihatan sebelum diberikan khidmat kaunseling daripada pasukan khas USM.

Sementara itu, Pensyarah Dr Mohd Azizan Mohd Hashim, 36, pula berkata, dia mendengar pemandu menjerit ‘ceper’ sebelum bas dinaiki mereka terbalik.

Menurutnya, ketika itu dia berada di kerusi hadapan berhampiran pemandu dan sedang berehat selepas selesai membuat lawatan di lombong arang batu.

“Keadaan ketika itu agak gelap dan bas terbabit melalui kawasan selekoh dan curam sebelum saya terdengar pemandu menjerit ceper yang bermaksud brek tidak berfungsi.

“Semua penumpang menjerit ketakutan dan saya turut tercampak keluar melalui cermin bas yang pecah dengan pemandu bas menindih badan saya,” katanya.

Sinar Harian