Tuesday, 3 March 2015

Tahniah! Besut antara daerah cemerlang dalam STPM 2014

Solidariti dan kesungguhan semua pihak membabitkan kepimpinan, ibu bapa, guru dan pelajar membuahkan hasil apabila daerah ini muncul antara daerah cemerlang dalam STPM 2014.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ab Halim Hassan berkata, turut membanggakan apabila SMK Putra, Hulu Besut muncul sekolah cemerlang peringkat kebangsaan.

Menurutnya, sekolah tersebut yang sering meraih kecemerlangan dalam STPM pada tahun sebelum ini menerima anugerah Sekolah Lonjakan Terbaik peringkat kebangsaan yang diumumkan semalam.
Calon STPM 2014 dari SMK Putra gembira selepas menerima keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah berkenaan semalam. Dua daripada 29 calon memperoleh 3A+ dan 1A-.

“Sekolah tersebut terpilih menerima anugerah itu apabila mampu melonjakkan kecemerlangan daripada kedudukan 123 sekolah terbaik STPM tahun 2013 kepada tempat ke-16 seluruh negara untuk keputusan STPM 2014 yang baru diumumkan,” katanya.

Ab Halim berkata lagi, turut membanggakan kerana SMK Putra berada pada kedudukan tempat kedua terbaik peringkat negeri selepas SMA Atas Sultan Zainal Abidin.

Ab Halim berkata, SMK Putra mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.12 berada di belakang SMA Atas Sultan Zainal Abidin sebanyak 10 mata iaitu yang memperolehi PNGK 3.21.

“Turut membanggakan apabila daripada 14 calon memperoleh keputusan Gred A (PNGK 4.00) dalam semua mata pelajaran seluruh negeri yang diumumkan semalam, tiga calon dari sekolah daerah ini iaitu masing-masing dari SMK Kuala Besut, SMK Nasiruddin Shah dan SMK Renek,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang memperoleh 4A ialah Siti Nur Amirah Ghazali dari SMK Kuala Besut, Noor Fariena Natasha Husin dari SMK Nasiruddin Shah dan Norfazira Besah dari SMK Renek, Jabi.

Percapaian itu amat memberangsangkan berbanding hanya seorang calon STPM 2013 memperoleh semua A pada tahun lalu iaitu dari SMK Putra.

“Selain empat sekolah cemerlang tersebut, tiga lagi sekolah di daerah ini tersenarai dalam 22 sekolah di Terengganu yang mencapai PNGK 2.8 ke atas iaitu SMKA Nurul Ittifaq diikuti SMK Bukit Payong dan SMK Tengku Mahmud menjadikan keseluruhan tujuh buah sekolah,” katanya.

Beliau berkata lagi, rangkuman kejayaan itu keputusan PNGK Besut pada tahun ini adalah 2.86 berbanding 2.65 tahun 2013. Pencapaian itu meletakkan Besut berkongsi kedudukan tertinggi dengan Marang yang memperoleh gred sama.

Sinar Harian