Monday, 30 March 2015

Alhamdulillah, bayi terselamat daripada diterbangkan angin kencang

SELINSING - Seorang bayi berusia setahun nyaris diterbangkan angin kencang selepas ribut melanda Kampung Parit Gabis, petang semalam.

Ibunya, Norasiah Sabri, 40, berkata, dalam kejadian jam 4 petang, dia dan anak-anaknya duduk di ruang tamu dan mahu menidurkan anak bongsunya, Nurul Auni Syazwani Ibrahim dalam buaian yang diikat pada alang rumah.
Norasiah (kanan) memangku Nurul Auni yang terselamat daripada diterbangkan angin kencang.
-Foto Sinar Harian oleh KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Menurutnya, ketika memasukkan Nurul Auni ke dalam buaian, anak bongsunya mula meragam dan meronta-ronta minta diturunkan dari buaian, sedangkan kebiasaannya bayi itu akan tidur nyenyak.

“Hairan saya lihat kelakuan Nurul Auni dan saya suruh anak kedua turunkan dia dan letak atas katil di ruang rehat rumah kami.

“Selepas beberapa saat, tiba-tiba ribut kencang melanda rumah kami dan terbangkan seluruh bumbung dan alang rumah, termasuk kipas angin serta buaian yang diikat pada alang rumah.

“Mujur saya sempat angkat bayi saya dan suruh anak-anak lain berlindung di ruang tamu, kalau tidak, apalah nasib anak bongsu saya,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Adun Selinsing, Husin Din di rumahnya di Kampung Parit Gabis, hari ini.

Norasiah berkata, dia bersyukur kesemua ahli keluarganya termasuk suami yang terperangkap di dapur terselamat daripada bencana itu.

Seorang lagi mangsa, Omar Amran, 48, berkata, kejadian kali kedua itu turut menjejaskan rumahnya yang rosak 80 peratus selepas bumbung dan alang rumah diterbangkan angin kencang.

Katanya, ketika kejadian, kakak bersama anak saudaranya sedang mengemas rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kaca lampu pecah.

Menurutnya, akibat bencana itu dia sekeluarga kerugian kira-kira RM20,000.

Sementara itu, Husin berkata, sebanyak 12 rumah penduduk dari dua kampung dikenal pasti terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin iaitu Kampung Parit Gabis dan Kampung Teluk Peribu.

Katanya, beliau sudah menziarahi kesemua mangsa terlibat dan meminta mereka membuat laporan polis.

Sinar Harian