Monday, 23 March 2015

Bateri tamat tempoh bukan punca kehilangan MH370?

Bateri peranti pengesan bawah air (ULB) yang telah tamat tempoh pada MH370 bukan punca kehilangan pesawat malang itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun bateri itu telah tamat tempoh 14 bulan sebelum insiden itu, namun tidak ada bukti yang menyatakan ULB pada pesawat itu tidak berfungsi.

Beliau berkata, ULB dipasang pada dua perakam atau kotak hitam pesawat iaitu Perakam Data Penerbangan (SSFDR) dan Perakam Suara Kokpit (SSCVR).

"Hanya bateri pada peranti pengesan bawah air SSFDR sahaja yang telah tamat tempoh, iaitu pada Disember 2012 atau kira-kira 14 bulan sebelum insiden kehilangannya.

"Bateri peranti yang dipasang pada SSCVR diganti mengikut jadual dan tarikh luputnya ialah pada Jun 2014," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pengangkutan, di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tiong Lai berkata, kedua-dua perakam SSFDR dan SSCVR dipasang saling bersebelahan pada pesawat MH370 dan dalam kes kemalangan, sekiranya satu daripada kotak perakam dikesan atau ditemui, peluang untuk menemui kotak perakam seterusnya adalah amat tinggi.

Pada 8 Mac tahun lepas, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan di ruang udara Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
   
Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun, pesawat itu diumumkan berakhir di Selatan Lautan Hindi, dengan operasi besar-besaran yang dilaksanakan sehingga kini masih gagal menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangannya.

Dalam pada itu Tiong Lai menegaskan, Laporan Interim dan Maklumat Fakta yang disediakan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) ICAO Malaysia bagi MH370 yang dikeluarkan pada 8 Mac lalu, adalah fakta semata-mata dan tidak mengandungi sebarang analisis berkaitan kejadian itu.

Tiong Lai menambah, pasukan penyiasat tersebut kini sedang membuat analisis kejadian itu terutama pada waktu antara 1.21 pagi sehingga 6 pagi pada hari kejadian dan analisis itu akan dikeluarkan dalam laporan seterusnya

Sinar Harian