Tuesday, 31 March 2015

Bandar raya bakal berdiri megah di tengah gurun

Arab Saudi akan meneruskan rancangan menyiapkan kerja pembinaan bandar mega di kawasan gurun negara itu.

Bandar Ekonomi Raja Abdullah atau KAEC (disebut ‘kek’) akan lebih besar sedikit daripada Washington DC dan akan menempatkan kira-kira 2 juta penduduk.

SETAKAT ini hanya 15 peratus projek itu sudah dibangunkan

Bandar raya itu yang akan dibina kira-kira 100 kilometer dari Jeddah dengan belanja kira-kira RM368 bilion akan mempunyai keluasan 112 kilometer persegi dan dijangka menjadi pusat baru komersial baru negara itu.

Almarhum Raja Abdullah menaruh harapan terhadap masa depan negaranya dengan pembinaan bandar baru berkenaan yang mungkin mengambil lebih 10 tahun untuk disiapkan.

DENGAN kawasan seluas 112 kilometer persegi, pembinaan bandar itu menelan belanja sebanyak RM368 bilion.

Setakat ini, 15 peratus projek berkenaan sudah disiapkan. Kemudahan awam dan kawasan kediaman masih lagi dalam pembinaan.

Rancangan itu termasuk pembinaan sebuah pelabuhan, kompleks industri, pusat kewangan, kemudahan pantai dan kawasan kejiranan.

SEBUAH stadium juga akan dibina.

KAEC ialah antara empat bandar baru yang dalam pembinaan. Ia bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi Saudi yang sehingga ini terlalu bergantung kepada minyak.

Ia sudahpun mempunyai laman webnya sendiri, menunjukkan pelan, peta dan maklumat mengenai cara untuk melabur.

LAKARAN gambar stesen kereta api Haramain di KAEC yang akan dibuka tahun ini, menghubungkan Makkah dan Madinah.

“Kami membina bandar raya dengan jangkaan 65 peratus populasinya di bawah usia 30-an. Ketika ini, 200,000 rakyat Saudi belajar di luar negara. Mereka sudah pasti akan membuat perubahan apabila kembali nanti,” kata pengarah urusan Emaar Economic City Fadi Al-Rasheed.

Syarikat berkenaan bertanggungjawab mengendalikan projek KAEC.

KREN dilihat di sebelah bangunan tinggi yang dalam pembinaan.

Dalam pada itu, projek berkenaan juga akan menyaksikan pembinaan satu daripada pelabuhan terbesar dunia.

Rayan Bukhari, pengurus muda projek itu berkata, pihaknya yakin pelabuhan baru itu akan mengambil alih peranan pelabuhan Jebel Ali di Dubai apabila siap kelak.

PINTU gerbang KAEC.

“Buat masa ini kebanyakan barangan yang dihantar ke Riyadh perlu melalui Dubai. Keadaan itu akan berubah. Ia akan terus dihantar ke sini kerana ia lebih murah dan boleh diagihkan lebih cepat ke seluruh pelosok negara ini,” katanya.

KAEC juga dijangka menjadi tempat singgah penting bagi jemaah haji dan umrah memandangkan ia akan menjadi pusat menghubungkan rangkaian kereta api laju antara Makkah dan Madinah.

SEKUMPULAN pengunjung melihat model KAEC yang antara lain akan menyaksikan pembinaan pelabuhan terbesar di dunia.

Buat masa ini, untuk ke Makkah menerusi jalan darat, ia hanya mengambil masa sejam 20 minit dan Madinah, kira-kira tiga jam.

Stesen kereta api Haramain akan dibuka hujung tahun ini sekali gus menjadi pemacu kepada pembangunan yang dirancang serta mengurangkan perjalanan ke Jeddah kepada 30 minit.

Hmetro