Tuesday, 3 March 2015

Akibat ugut bunuh ibu, anak dikenakan hukuman penjara setahun

KUALA TERENGGANU - Seorang anak yang tergamak mengugut mahu membunuh ibu kandungnya menggunakan sebilah pisau pemotong sayur menerima pembalasan apabila dikenakan hukuman 12 bulan penjara, oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Mohd Ramadam Mazelan, 29, dari Kampung Aur Chendering, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Zaleha Omar, 50.

Dia mengaku salah mengugut mangsa menggunakan sebilah pisau semasa berada di kediaman mereka, di Kampung Aur Chendering, di sini, lebih kurang jam 8 pagi, pada 12 Febuari lalu.

Dengan itu, Mohd Ramadam yang turut positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian awal saringan air kencing yang dibuat mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mohd Ramadam dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara dalam tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Mohd Ramadam mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah serta pasu bunga di luar rumah dan tindakan itu disaksikan bapanya, Mazelan Ngah yang secara kebetulan turut berada di rumah.

Selain itu, Mohd Ramadam juga ada mengugut ibunya, dengan menggunakan pisau pemotong sayur yang berada di dapur dan mengugut mahu membakar rumah serta mencederakan semua ahli keluarga termasuk mahu membunuh mangsa.