Sunday, 1 March 2015

Ada apa di Taman Tamadun Islam?

Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) menyasarkan lebih ramai pelancong yang berkunjung untuk melawat lokasi istimewa di Taman Tamadun Islam (TTI) pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah urusannya, Wan Adnan Wan Derahman berkata, pada 2013, terdapat 50,000 pelancong yang berkunjung ke situ dan jumlah itu meningkat kepada 55,000 pelancong pada tahun lalu.
Pelancong luar negara menaiki ‘buggy’ ketika melawat Taman Monumen di Taman Tamadun Islam.
“Berdasarkan jumlah tersebut, kita jangka pelancong akan semakin meningkat pada tahun ini terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

“Pihak pengurusan TTI juga perlu bersedia pada musim cuti sekolah dan cuti umum bagi menyambut jumlah kedatangan pelancong yang ramai,” katanya.

Beliau berkata, Taman Monumen dan TTI River Cruise kini menyediakan promosi bermula 25 Februari dan 31 Mac 2015.

“Terdapat pakej harga istimewa bagi melawat Taman Monumen dan TTI River Cruise di mana kita menyediakan harga serendah RM29 bagi dewasa berbanding harga asal RM40 dan RM18 bagi warga emas serta kanak-kanak berbanding harga asal RM30.

“Sementara itu, bagi melawat Taman Monumen sahaja, harga promosi kita sediakan RM15 bagi dewasa berbanding harga asal RM20 dan RM10 bagi warga emas dan kanak-kanak berbanding harga biasa RM15,” katanya.

Menurut Wan Adnan, bagi menaiki TTI River Cruise pula, harga promosi ditawarkan serendah RM15 bagi dewasa berbanding harga asal RM20 dan RM10 bagi warga emas dan kanak-kanak berbanding harga asal RM15.

TTI yang berkeluasan 22.3 hektar itu terbahagi kepada dua zon di mana Zon A terdapat 23 monumen sejarah ketamadunan Islam daripada 21 negara.

“Di situ terdapat lima monumen interaktif di mana pengunjung berpeluang masuk dan lihat video tayangan mengenai sejarah setiap monumen itu dan selebihnya adalah monumen statik.

“Sementara itu, bagi zon B pula ia lokasi awam yang terdapat Masjid Kristal, TTI Konvensyen Centre, Arked Terengganu, Restoran Bbenteng, rumah tamu dan TTI River Cruise,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif TTI River Cruise, Mohd Nazir Mat Tahir berkata, TTI River Cruise yang berpusat di jeti Tokku Paloh itu mula beroperasi pada Mac 2009, dengan menggunakan tiga bot payang dan dua bot kolek yang diubahsuai dengan menggunakan kuasa enjin.

“Pada peringkat awal sehingga Mei 2010, syarikat itu telah mendapat bantuan kerajaan negeri dengan menggunakan bot fiber untuk tampung jumlah pengunjung yang di luar jangkaan.

“Sebelum ini, bot payang hanya mampu memuatkan seramai 12 orang dan bot kolek pula hanya boleh memuatkan enam orang sahaja. Untuk bot yang baru kita ada lapan buah bot iaitu tiga bot berkabin lima bot persiaran,” katanya.

Beliau berkata, bot berkabin mampu memuatkan seramai 32 orang manakala bagi bot persiaran boleh memuatkan seramai 42 orang.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelancong yang menaiki TTI River Cruise amat memuaskan dan kita bersyukur kerana warisan seperti pulau di Terengganu masih terpelihara dan menjadi ikon pelancongan di negeri ini,” katanya.

Sinar Harian