Friday, 20 March 2015

Bas disediakan untuk menghadiri majlis Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

Kerajaan Johor menyediakan perkhidmatan bas secara percuma kepada rakyat untuk menyaksikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di sini, Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Mohamed berkata penyediaan bas berlogo Kemahkotaan Sultan Johor itu adalah sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan orang ramai.

"Sebanyak 1,000 bas disediakan di setiap daerah manakala 60 bas ulang-alik disediakan di bandar raya ini. Bas yang disediakan di bandar raya ini bermula pada 7 pagi di 10 lokasi yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perarakan Berkereta sempena istiadat tersebut berkata, lokasi itu membabitkan Taman Desa Mutiara-Taman Setia  Tropika-Dataran Bandaraya (Bas Handal Indah); Terminal Johor Jaya-The Store Pandan-Pasar Borong Pandan-Shell Kampung Dato Sulaiman Menteri-Wisma Maria (Bas Maju) dan Stadium Larkin-Wisma Maria (Bas Maju).

Beliau berkata lokasi lain adalah Terminal Larkin-Taman Bukit Saujana-Wisma Maria (Bas Maju); Terminal Bas Taman Universiti-Taman Sri Puteri-Stesen Minyak Petron/Taman Ungku Tun Aminah-Giant Tampoi-pejabat IRDA (Bas Handal Indah) serta Plaza Angsana-Bandar Baru Uda/Skudai Kiri-pejabat IRDA (Bas Handal Indah).

Katanya perkhidmatan itu turut disediakan di GP Sentral (Gelang Patah)-Taman Nusa Perintis-Perumahan Rakyat Iskandar-Lima Kedai-Taman Mutiara Rini-pejabat IRDA (Bas Handal Indah); Terminal Pasir Gudang-Dewan Taman Cendana Pasir Gudang-Terminal Masai-Plentong-Wisma Maria (Bas Maju) serta Stadium Pasir Gudang-Perumahan Rakyat  Iskandar-Flat Stulang/The Zone-Wisma Maria (Bas Maju). 

Mengenai perarakan kereta itu, Ismail berkata 40,000 orang dijangka berbaris di sepanjang laluan 7.95 kilometer untuk menyaksikan perarakan bermula dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene.

Beliau berkata konvoi perarakan berkereta diraja akan bermula 10.30 pagi dan akan melalui Jalan Ibrahim Sultan, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Trus dan kemudian ke Jalan Ismail Sultan, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan berakhir di Istana Bukit Serene.

"Sepanjang laluan itu, kita bahagikan 13 'checkpoint' dengan setiap perhentian menempatkan peserta perbarisan mewakili daerah dan parlimen dalam Johor Bahru yang akan membuat persembahan atau aktiviti sementara menunggu konvoi perarakan berkereta," katanya.

Selain itu, pihaknya turut menganjurkan program Mini Agro Johor, mulai esok hingga Isnin ini di Dataran Bandaraya, di sini, bersempena Istiadat Kemahkotaan berkenaan.

Katanya pelbagai aktiviti, pameran serta jualan produk industri asas tani disediakan kepada pengunjung mulai 10 pagi hingga 10 malam. 

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment