Tuesday, 17 March 2015

3 beranak meninggal dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur

Pasangan suami isteri, Tan Poh Chin atau Ahmad Yusri Syamil Tan Abdullah, 31 dan Noor Hasnira Embong, 30 yang maut di tempat kejadian apabila kereta mereka terbabas di Kilometer 210.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur dekat Gambang, petang kelmarin dalam perjalanan pulang setelah menghantar ibu Hasnira di Kampung Belukar Jambu pada hari yang sama.

Ibu mangsa, Hasmah Muda, 64, berkata, anak bersama menantu serta cucunya, Noor Syamimi Tan, sebulan, yang turut maut lebih kurang sembilan jam selepas kejadian, bergegas pulang semula ke Kuantan selepas menghantarnya di Kampung Belukar Jambu, di sini.

“Pada malam sebelum kejadian, Ira (Hasnira) nak hantar makcik balik sebab Yusri (menantu) tidak sempat hantar makcik minggu depan seperti yang dirancang, sebab itu dia mahu hantar juga malam itu (malam kelmarin) dan kami bertolak dari Kuantan jam 1 pagi.

“Sampai sahaja di rumah (Kampung Belukar Jambu) kira-kira 6 pagi, makcik ajak mereka singgah dahulu tetapi katanya hendak balik cepat.

"Sepanjang perjalanan pulang itupun Ira tidak banyak cakap, sedangkan dia seorang yang ceria, tetapi makcik tidak fikir apa-apa sebab mungkin dia penat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, pagi semalam.

Hasmah yang masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak, menantu serta cucunya itu agak terkilan kerana Ira dan Yusri tidak sempat melihat gambar perkahwinan mereka yang baharu dihantar Sabtu lalu.

“Mereka tak sempat tengok gambar perkahwinan yang baru dihantar Sabtu lalu, sebelum ini dia hendak ambil (album) tetapi selalu tidak ada masa, bila sudah pos ke sini, dia pula tidak sempat tengok.

“Hanya gambar inilah yang akan menjadi kenangan untuk kami, makcik reda dengan kehilangan mereka sekeluarga walaupun terasa sedih kerana masih belum puas bermain dengan cucu (Syamimi),” katanya.

Tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut lebih kurang jam 9.30 pagi semalam.

Sebelum ini, akhbar sama melaporkan Ira dan Yusri maut di tempat kejadian manakala Syamimi yang dipercayai tercampak daripada pangkuan ibunya cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam hari sama.

Sinar Harian