Tuesday, 31 March 2015

Bandar raya bakal berdiri megah di tengah gurun

Arab Saudi akan meneruskan rancangan menyiapkan kerja pembinaan bandar mega di kawasan gurun negara itu.

Bandar Ekonomi Raja Abdullah atau KAEC (disebut ‘kek’) akan lebih besar sedikit daripada Washington DC dan akan menempatkan kira-kira 2 juta penduduk.

SETAKAT ini hanya 15 peratus projek itu sudah dibangunkan

Bandar raya itu yang akan dibina kira-kira 100 kilometer dari Jeddah dengan belanja kira-kira RM368 bilion akan mempunyai keluasan 112 kilometer persegi dan dijangka menjadi pusat baru komersial baru negara itu.

Almarhum Raja Abdullah menaruh harapan terhadap masa depan negaranya dengan pembinaan bandar baru berkenaan yang mungkin mengambil lebih 10 tahun untuk disiapkan.

DENGAN kawasan seluas 112 kilometer persegi, pembinaan bandar itu menelan belanja sebanyak RM368 bilion.

Setakat ini, 15 peratus projek berkenaan sudah disiapkan. Kemudahan awam dan kawasan kediaman masih lagi dalam pembinaan.

Rancangan itu termasuk pembinaan sebuah pelabuhan, kompleks industri, pusat kewangan, kemudahan pantai dan kawasan kejiranan.

SEBUAH stadium juga akan dibina.

KAEC ialah antara empat bandar baru yang dalam pembinaan. Ia bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi Saudi yang sehingga ini terlalu bergantung kepada minyak.

Ia sudahpun mempunyai laman webnya sendiri, menunjukkan pelan, peta dan maklumat mengenai cara untuk melabur.

LAKARAN gambar stesen kereta api Haramain di KAEC yang akan dibuka tahun ini, menghubungkan Makkah dan Madinah.

“Kami membina bandar raya dengan jangkaan 65 peratus populasinya di bawah usia 30-an. Ketika ini, 200,000 rakyat Saudi belajar di luar negara. Mereka sudah pasti akan membuat perubahan apabila kembali nanti,” kata pengarah urusan Emaar Economic City Fadi Al-Rasheed.

Syarikat berkenaan bertanggungjawab mengendalikan projek KAEC.

KREN dilihat di sebelah bangunan tinggi yang dalam pembinaan.

Dalam pada itu, projek berkenaan juga akan menyaksikan pembinaan satu daripada pelabuhan terbesar dunia.

Rayan Bukhari, pengurus muda projek itu berkata, pihaknya yakin pelabuhan baru itu akan mengambil alih peranan pelabuhan Jebel Ali di Dubai apabila siap kelak.

PINTU gerbang KAEC.

“Buat masa ini kebanyakan barangan yang dihantar ke Riyadh perlu melalui Dubai. Keadaan itu akan berubah. Ia akan terus dihantar ke sini kerana ia lebih murah dan boleh diagihkan lebih cepat ke seluruh pelosok negara ini,” katanya.

KAEC juga dijangka menjadi tempat singgah penting bagi jemaah haji dan umrah memandangkan ia akan menjadi pusat menghubungkan rangkaian kereta api laju antara Makkah dan Madinah.

SEKUMPULAN pengunjung melihat model KAEC yang antara lain akan menyaksikan pembinaan pelabuhan terbesar di dunia.

Buat masa ini, untuk ke Makkah menerusi jalan darat, ia hanya mengambil masa sejam 20 minit dan Madinah, kira-kira tiga jam.

Stesen kereta api Haramain akan dibuka hujung tahun ini sekali gus menjadi pemacu kepada pembangunan yang dirancang serta mengurangkan perjalanan ke Jeddah kepada 30 minit.

Hmetro

Baca lagi >>

Selepas jalani lebih 9 pembedahan, bayi yang lahir dengan separuh jantung kini sihat

DUNHAM - ENGLAND. Seorang bayi yang lahir dengan hanya separuh jantung sempurna kini sihat selepas menjalani lebih sembilan pembedahan.

Jack Stevens, 15 bulan, juga pernah diserang strok.


Menurut Dailymail.uk, Stevens mengalami sindrom Hypoplastic Left Heart (HLHS) yakni hanya separuh jantungnya berjaya terbentuk ketika dalam kandungan.

Stevens kini tidak dibantu dengan alat bantuan pernafasan dan dibenarkan balik ke rumah selepas keadaannya bertambah baik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Badak sumbu mengamuk, seorang wanita maut, 6 lagi cedera

HETAUDA - NEPAL. Seekor badak sumbu liar mengamuk di bandar Hetauda, menyebabkan seorang wanita maut dan enam orang lagi cedera dan mengejar orang ramai di pasar dan hospital, semalam.

Menurut The Guardian, orang ramai cuba menghalau badak sumbu berkenaan dengan membunyikan hon dan memukul deram, namun tidak berjaya.

Sedutan video rakaman amatur yang dimuatnaik ke laman sosial.

Pegawai kerajaan, Ram Prasad Thapaliya memberitahu, satu pasukan bersama ubat pelali (tranquilizer) sedang cuba menangkap haiwan tersebut.

"Badak sumbu ini gemparkan penduduk. Ia juga masuk ke dalam hospital dan membuatkan orang ramai melarikan diri dan lompat dari pagar," kata Ram Prasad.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mohon kerajaan tangguhkan dulu GST

MELIHAT rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.

Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak pada malam terakhir sebelum harga minyak diumumkan naik pada hari keesokkannya.

Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.

GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.

Sejak zaman Pak Lah sehinggalah sekarang, kita mula kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55 peratus GDP.

Kita mula mendengar penyelewengan dan salahguna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.

Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya.

Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam 1 hari lagi.

Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?

Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?

Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana (RM5000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah? Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang sekeliling - bagaimana pula selepas GST?

Bagaimana pula dengan golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST terlaksana?

Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?

Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar  penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana GST?

Apakah kerajan sudah melakukan simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?

Ada juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6 peratus tambahan kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?

Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos kehidupan mereka selepas GST terlaksana?

Apakah saluran sudah disediakan untuk para konsumer yang menjadi mangsa untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya dikecualikan GST? 

Bagaimanakah para konsumer boleh mengetahui samada mana-mana satu kedai boleh mengenakan GST mahupun tidak? Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?

Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?

Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.

Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui apa-apa yang lain dan kesannya.

Kerajaan pula dilihat hanya menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat bahawa GST tidak akan menyebabkan peningkatkan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan GST tidak bermasalah.

Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum melaksanakan GST menyakinkan saya lagi bahawa kerajaan masih tidak bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.

Saya merasa perlunya untuk kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.

Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan perjudikan nasib rakyat dengan perlaksanaan GST yang masih tidak menentu dan stabil.

Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimakan. 

Lebih baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden Pas

Baca lagi >>

Benjy bakal berdepan hukuman gantung?

BEKAS pelakon, Benjy atau nama sebenar Khaeryll Benjamin Ibrahim berdepan  hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas ditahan bersama peralatan dan bahan kimia yang biasanya digunakan untuk memproses syabu.

Benjy, 37, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut laporan media tempatan, dadah jenis syabu seberat lebih 1.3kg juga ditemui bersama anak lelaki tunggal kepada pelakon Allahyarham Azean Irdawaty itu.

Benjy ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Pagoh, semalam.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Jadual Liga Premier dan Liga Super dipinda

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan meminda beberapa jadual Liga Premier dan Liga Super bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pindaan itu juga mengambil kira jadual persatuan bola sepak negeri dan kelab yang layak ke suku akhir Piala FA serta pasukan terlibat dalam kejohanan Piala AFC 2015.

Pasukan Pilihan Malaysia akan berdepan dua pasukan Liga Perdana Inggeris iaitu Tottenham Hotspur dan Liverpool FC pada Mei dan Julai ini.

Anak buah Dollah Salleh akan berdepan skuad bimbingan Mauricio Pochettino pada 27 Mei dan Liverpool pada 24 Julai.

"Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (Datuk Seri Afandi Hamzah) memutuskan beberapa pindaan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier 2015 perlu dibuat bagi memberi laluan kepada pasukan Pilihan Malaysia menghadapi perlawanan antarabangsa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadual Liga Super terlibat adalah perlawanan ke-11 pada 30 Mei yang dipinda kepada 27 Jun, perlawanan ke-15 pada 27 Jun diawalkan kepada 23 Jun dan perlawanan ke-17 pada 25 Julai dipinda kepada 5 Ogos

Sinar Harian

Baca lagi >>

Gerhana bulan Sabtu ni, jom pakat-pakat solat sunat gerhana

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di sini hari ini, fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01 petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada 10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.

"Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit," menurut kenyataan berkenaan.

Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

Sehubungan itu, Angkasa dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Selain itu, Angkasa juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek astronomi secara percuma.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut, orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) atau hubungi talian 03-22734403/5484. 

Tatacara solat sunat gerhana boleh lihat di SINI

Sinar Harian

Baca lagi >>

Monday, 30 March 2015

4 tip penjagaan rambut bagi wanita bertudung

1. Pastikan rambut kering

Kalau yang cuci rambut sebelah pagi, sebolehnya cuci lebih awal sebelum pakai tudung, biarkan rambut betul-betul kering atau guna pengering rambut menggunakan suhu bersesuaian. Cuci rambut sebelah petang atau malam, selepas balik kerja kemudian biarkan rambut kering secara semula jadi biarkan ia lepas bebas serta elakkan daripada membungkusnya dengan tuala. Elakkan daripada mengikat rambut ketika basah.

2. Pilih fabrik tudung lembut

Pilih fabrik lembut untuk tudung. Jangan pilih fabrik kapas, kerana kain tudung yang memerangkap haba tidak sesuai kerana mudah memerangkap haba dan buatkan kulit kepala kita cepat berpeluh. Kalau selesa, elakkan pakai serkup kepala. Pastikan tudung betul-betul dipin dengan selesa supaya rambut tak terkeluar.


3. Rehat dulu

Bila sampai sahaja di rumah, terus buka tudung dan biarkan kulit kepala 'bernafas' terlebih dahulu. Rehat dalam masa 1/2 jam untuk peluh di kulit kepala kering. Sebaiknya, buka ikatan rambut dan biarkan angin meresap ke seluruh kulit kepala. Jangan biarkan rambut terus bertudung atau jangan pula terus mandi sebaik sahaja sampai di rumah.

4. Pilih syampu sesuai

Syampu memang kena cuba untuk cari yang sesuai dengan rambut dan kulit kepala. Paling penting pilih yang berasaskan herba dan semula jadi. Elakkan guna yang mengandungi banyak bahan kimia. Seeloknya gunakan syampu serta perapi berasingan kerana kesannya lebih elok menggunakan syampu dua atau tiga dalam satu.


Tip penjagaan rambut tidak bertudung

1. Rajin membuat rawatan

Sesiapa yang suka mewarnakan rambut atau mendandan rambut mengikut trend semasa perlu rajin membuat rawatan susulan kerana jika rambut tidak dirawat dengan sempurna boleh mendatangkan masalah rambut kering, rosak serta kusam.

2. Pakai serum rambut

Bagi memastikan rambut sentiasa bersinar perlu memakai serum dan vitamin.

Sinar Harian

Baca lagi >>

7 perkara penting penunggang motosikal perlu tahu

Motosikal terutamanya berusia dua tahun ke atas atau perlu menempuhi perjalanan jauh setiap hari memerlukan penjagaan terutama pada bahagian penting. la harus diambil perhatian sewajarnya demi menjamin keselamatan ketika menunggang.

Bagaimanapun ada pengguna motosikal langsung tidak ambil berat atau menjaga tempoh servis yang betul, kita hidupkan enjin dan terus menunggang.

Namun tahukah anda ada beberapa bahagian harus diperiksa tiap kali sebelum mulakan perjalanan. Ini bagi memastikan motosikal anda selamat untuk ditunggang sama ada untuk ke tempat kerja mahupun berkonvoi di hujung minggu.

Rantai diikat tidak terlalu ketat atau longgar.

Saluran getah minyak
Pastikan ia tiada kebocoran, rosak atau kembang. Sekiranya terdapat tanda-tanda kebocoran atau bau minyak, jangan tunggu lama dan terus ke bengkel berhampiran untuk menukar yang baru.

Brek
Ini antara bahagian terpenting bagi memastikan keselamatan terjamin. Periksa tekanan brek depan dan belakang, minyak brek mencukupi, lapisan brek (break pad) atau servis setiap enam bulan. Pastikan juga lampu brek menyala bila ditekan.

Tayar
Periksa tekanan angin agar mencukupi mengikut bacaan tepat pada tayar depan dan belakang. Tayar harus ditukar sekiranya terdapat rekahan terutama pada usia hampir setahun atau sering menggunakannya untuk perjalanan jauh. Gunakanlah tayar bermutu tinggi terutama bagi mereka yang kerap berkonvoi atau suka menunggang laju demi menjamin keselamatan ketika menunggang.

Minyak enjin
Paras minyak enjin harus diperiksa agar tepat dan mencukupi. Enjin tidak akan bermasalah jika penjagaan atau pertukaran minyak mengikut masa atau jarak kilometer ditetapkan. Ini penting untuk memastikan kelancaran dan ketahanan enjin. Penggunaan minyak enjin yang berjenama adalah digalakkan untuk kelancaran berpanjangan.

Rantai motor
Semburkan rantai motor anda dengan penyembur minyak rantai pada setiap 300 KM perjalanan atau dua hari sekali. Rantai kering, berkarat akan rosakkan sprocket atau boleh menyebabkannya putus. Rantai terlalu lama digunakan atau longgar, keras, berkarat dan sebagainya harus ditukar bersama sprocket depan dan belakang. Rantai harus diikat tak terlalu ketat atau longgar.

Tali kabel
Periksa kesemua tali kabel iaitu brek, klac dan minyak. Pastikan kelembutan bila ia ditarik. Ini penting kerana tali kabel yang keras dan berkarat akan menyebabkan ia putus atau keras bila ditarik dan akan mengganggu kelancaran penunggangan.

Lampu dan bateri berfungsi
Seelok-eloknya periksa lampu hadapan, belakang dan lampu membelok sebelum memulakan perjalanan. Ini amat penting terutama ketika menunggang sewaktu hujan. Jangka hayat bateri yang dijaga dengan betul ialah antara satu hingga dua tahun sahaja. Sila periksa tarikh terakhir yang anda tukar.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berpisah dari Malaysia detik paling menyeksakan - Lee Kuan Yew

SINGAPURA - Pemisahan daripada Malaysia adalah 'detik paling menyeksakan' bagi Lee Kuan Yew, tetapi ia terbukti menjadi titik perubahan ke arah hala tuju Singapura yang membawa tuah, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Kuan Yew, Perdana Menteri pengasas Singapura yang memperjuangkan kemerdekaan bagi Singapura melalui "Penggabungan dengan Persekutuan Tanah Melayu" untuk  membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu. 


"Beliau berusaha bertungkus lumus untuk merealisasikannya, dan berjaya.

"Malangnya tidak lama kemudian penggabungan itu gagal, dan kami dikeluarkan daripada Malaysia," kata Hsien Loong dalam kata-kata penghargaan semasa upacara pengebumian negara untuk mendiang bapanya.

Daripada abu pemisahan itu, Hsien Loong berkata, Kuan Yew telah membangunkan sebuah negara.

Beliau berkata, perkara paling mudah untuk dilakukan adalah merayu kepada pengundi kaum Cina sahaja. Sebaliknya, Kuan Yew  menaruh impian untuk mewujudkan sebuah negara yang berbilang kaum, pelbagai agama.

Singapura tidak berdasarkan pada bangsa, bahasa atau agama, tetapi berteraskan nilai-nilai asas – pelbagai kaum, kesaksamaan, meritokrasi, integriti, dan keluhuran undang-undang.

Kuan Yew mengisytiharkan: "Ini bukan sebuah negara milik mana-mana komuniti tunggal; Ia adalah milik kita semua."

Hsien Loong berkata, Kuan Yew berkeras untuk mengekalkan bahasa-bahasa ibunda walaupun bahasa Inggeris menjadi keutamaan.

Lebih-lebih lagi, katanya Kuan Yew adalah seorang pejuang.

Semasa berdepan krisis, beliau berkata, apabila semua membayangkan tiada harapan, Kuan Yew kekal bersifat enggan mengaku kalah, pintar, tegas dan berpendirian tetap dalam memperjuangkan sesuatu.

"Oleh kerana beliau tidak pernah goyah, kami tidak pernah teragak-agak. Ini kerana beliau sanggup berjuang, kami mendapat keberanian dan berjuang bersama-sama beliau dan mencapai kemenangan.

"Atas semangat juang itu, Encik Lee mengangkat Singapura daripada taraf Dunia Ketiga untuk menjadi taraf Dunia Pertama," kata Hsien Loong. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lahirkan lebih ramai generasi Al-Quran

KOTA BHARU - Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub terus menanam impian yang tinggi supaya program Rumah Ngaji dijayakan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) akan dapat melahirkan seramai mungkin generasi al-Quran.

Katanya, hasrat itu amat bersesuaian kerana Kelantan yang terkenal dengan jolokan negeri Serambi Makkah mempunyai tarikan kuat terhadap ilmu keagamaan dan mempunyai rujukan tersendiri.

“Dengan lahirnya lebih ramai individu memahami al-Quran ia secara tidak langsung akan membawa kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan menjadi ‘pengedar’ untuk membuka laluan ke jalan benar.

Hussamuddin (empat, kiri) bersama sebahagian peserta dan kenamaan yang menghadiri program membaca al-Quran Kaedah al-Badar, semalam.

“Orang Kelantan yang berada di negeri Serambi Makkah perlu mempunyai asas yang kuat dalam hidup mereka, al-Quran bukan sahaja dibaca, sebaliknya difahami dan diamalkan,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Kursus Membaca al-Quran Kaedah al-Badar di Dewan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Hussamuddin juga percaya, mendalami ilmu agama menerusi pembelajaran al-Quran yang dianjurkan itu bukan sahaja memberi pengetahuan untuk celik kepada ayat-ayat suci, bahkan lebih penting melahirkan jiwa yang murni.

Menurutnya, beliau berharap dengan Kaedah al-Badar yang hanya memerlukan 20 jam bagi membolehkan seseorang itu membaca al-Quran, tidak ada alasan lagi untuk mengelak dari mempelajari ilmu al-Quran seterusnya menguasai bacaannya.

“Sekarang jika diperhatikan banyak kes jenayah yang berlaku termasuk penyalahgunaan dadah dan saya percaya ia sedikit sebanyak boleh dibendung dengan pendekatan al-Quran,” katanya.

Program jam 9 pagi hingga 5 petang itu mendapat sambutan luar biasa 400 peserta.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pesawat Air Canada terbabas ketika mendarat

HALIFAX - KANADA . Pesawat Air Canada yang membawa 135 penumpang dan lima anak kapal dilaporkan terbabas sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield di Nova Scotia, kata jurucakap lapangan terbang, Peter Spurway.

Memetik laporan CNN, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan pesawat  penerbangan 624 dari Toronto itu dikatakan berada dalam keadaan yang agak teruk.



Namun, menurut kenyataan Air Canada, 23 penumpang telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Salji tebal dilaporkan ketika kejadian namun Spurway berkata masih belum jelas sama ada cuaca itu menjadi punca kemalangan.


Susulan kejadian itu, lapangan terbang tersebut bergelap akibat terputus bekalan elektrik namun pihak Nova Scotia Power kemudiannya memaklumkan bahawa bekalan elektrik telah dikembalikan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Alhamdulillah Awal dalam keadaan baik dan stabil - Scha Alyahya

Scha Alyahya, isteri pengacara Awal Ashaari berkata suaminya dalam keadaan baik di Hospital Besar Melaka.


Kira-kira jam 11.15 pagi semalam, kereta BMW 6 Series yang dipandu rakan Awal rosak teruk selepas terbabit nahas berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh ketika mereka dalam perjalanan ke Melaka.

Awal dan Izuan dalam perjalanan ke Karnival Jom Heboh, Melaka untuk mengacarakan Melodi secara langsung.


"Alhamdulillah Awal dalam keadaan baik dan stabil. Tiada kecederaan teruk. Walaupun kereta dia rosak teruk, Tuhan masih melindunginya," kata Scha yang diberi pelepasan oleh pengarah untuk melawat Awal di hospital.

Ketika ini Scha sedang menjalani penggambaran telefilem Nota Cinta terbitan Suhan Movies arahan Azma Aizal Yusof di ibu kota.


Bharian

Baca lagi >>

Alhamdulillah, bayi terselamat daripada diterbangkan angin kencang

SELINSING - Seorang bayi berusia setahun nyaris diterbangkan angin kencang selepas ribut melanda Kampung Parit Gabis, petang semalam.

Ibunya, Norasiah Sabri, 40, berkata, dalam kejadian jam 4 petang, dia dan anak-anaknya duduk di ruang tamu dan mahu menidurkan anak bongsunya, Nurul Auni Syazwani Ibrahim dalam buaian yang diikat pada alang rumah.
Norasiah (kanan) memangku Nurul Auni yang terselamat daripada diterbangkan angin kencang.
-Foto Sinar Harian oleh KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Menurutnya, ketika memasukkan Nurul Auni ke dalam buaian, anak bongsunya mula meragam dan meronta-ronta minta diturunkan dari buaian, sedangkan kebiasaannya bayi itu akan tidur nyenyak.

“Hairan saya lihat kelakuan Nurul Auni dan saya suruh anak kedua turunkan dia dan letak atas katil di ruang rehat rumah kami.

“Selepas beberapa saat, tiba-tiba ribut kencang melanda rumah kami dan terbangkan seluruh bumbung dan alang rumah, termasuk kipas angin serta buaian yang diikat pada alang rumah.

“Mujur saya sempat angkat bayi saya dan suruh anak-anak lain berlindung di ruang tamu, kalau tidak, apalah nasib anak bongsu saya,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Adun Selinsing, Husin Din di rumahnya di Kampung Parit Gabis, hari ini.

Norasiah berkata, dia bersyukur kesemua ahli keluarganya termasuk suami yang terperangkap di dapur terselamat daripada bencana itu.

Seorang lagi mangsa, Omar Amran, 48, berkata, kejadian kali kedua itu turut menjejaskan rumahnya yang rosak 80 peratus selepas bumbung dan alang rumah diterbangkan angin kencang.

Katanya, ketika kejadian, kakak bersama anak saudaranya sedang mengemas rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi kaca lampu pecah.

Menurutnya, akibat bencana itu dia sekeluarga kerugian kira-kira RM20,000.

Sementara itu, Husin berkata, sebanyak 12 rumah penduduk dari dua kampung dikenal pasti terjejas akibat kejadian ribut petang kelmarin iaitu Kampung Parit Gabis dan Kampung Teluk Peribu.

Katanya, beliau sudah menziarahi kesemua mangsa terlibat dan meminta mereka membuat laporan polis.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sunday, 29 March 2015

Awal Ashaari kemalangan di Melaka


PENGACARA terkenal, Awal Ashaari dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus ketika dalam perjalanan ke siaran langsung Melodi di Melaka, hari ini.

Berita itu dimaklumkan wartawan Melodi, Zuan Azmi melalui akaun Instagram miliknya, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pengacara Melodi, Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Plus berdekatan R&R Ayer Keroh Melaka arah selatan.

“Awal ditemani Izuan Mokhtar dalam perjalanan untuk siaran langsung Melodi dari Jom Heboh Stadium Ayer Keroh,” tulisnya.

Zuan turut berkongsi gambar keadaan kereta Awal yang remuk teruk.

Menurutnya lagi, Awal telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Awal sudah dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans dan saya masih berada di lokasi kemalangan menunggu pegawai penyiasat dan ‘towing’. Dalam pemerhatian saya, Awal tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sama-sama kita doakan untuk Awal,” katanya lagi.

Sementara itu, isterinya, Scha Al Yahya ketika ditemui di hospital berkenaan berkata, Awal hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut dipercayai akibat terhentak ketika kemalangan itu.

Dalam pada itu, Zuan berkata, tempat Awal sebagai pengacara Melodi digantikan oleh penerbit Micheal dan Liza Hot Fm.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kenali pulau paling terpencil di dunia

Dengan hanya boleh dijejaki menerusi pelayaran enam hari dengan bot atau mengikuti percutian belayar selama sebulan merentasi Lautan Atlantik Selatan, Tristan da Cunha ialah destinasi percutian paling jauh.

Gugusan pulau berpenghuni paling terpencil di dunia itu terletak kira-kira-kira 2,000 kilometer dari Saint Helena, pulau berpenduduk paling hampir dengannya, 2,399 kilometer dari Afrika Selatan dan 3,360 kilometer dari Amerika Selatan.

PETA menunjukkan kedudukan Tristan da Cunha.

Ia hanya 11 kilometer panjang dan luas kira-kira 60 kilometer persegi.

Satu-satunya penempatan di kepulauan itu dikenali sebagai Edinburgh of the Seven Seas, yang digelar oleh kira-kira 300 penduduknya sebagai The Settlement.

PENEMPATAN di Ttistan da Cunha juga dikenali sebagai The Settlement dan mempunyai kurang daripada 300 penduduk

Walaupun kecil dan terpencil, Tristan da Cunha kaya dengan sejarah dan amat unik.

Antara syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong belayar ke sana ialah Oceanwide Expeditions yang akan berlabuh tiga hari di Tristan da Cunha, nama yang diberi kepada pulau utama dan pulau sekelilingnya, termasuk Pulau Nightingale yang tidak berpenghuni.

Kapal syarikat berkenaan berlepas dari Ushuaia di Tierra del Fuego, Argentina kerana ia cara terbaik untuk sampai ke kepulauan itu.

SATU-SATUNYA penempatan di Tristan da Cunha, Edinburgh of the Seven Seas, terletak di kaki gunung berapi Queen Mary.

Bagaimanapun, untuk berlabuh atau mendarat tidak dijamin. Kira-kira 30 peratus cubaan mendarat sejak 1998 gagal kerana cuaca buruk.

Bagi mereka yang bercuti ke sana, tidak ada hotel disediakan.

Bagaimanapun, mereka boleh tinggal sementara dengan penduduk tempatan, keturunan dari pelbagai negara, termasuk Scotland, England, Belanda, Amerika Syarikat dan Itali.

Penduduk yang semuanya petani, juga menjadi pemandu pelancong dan penjual cenderamata.

PANDANGAN dari atas atas pulau utama di Tristan da Cunha.

Berdasarkan sejarah, pulau berkenaan terbukti menjadi persinggahan penting bagi kapal yang perlu berhenti dalam pelayaran merentasi Atlantik.

United Kingdom mengisytiharkan kepulauan itu tanah jajahannya pada 1816 untuk memastikan Perancis tidak boleh menggunakannya sebagai pangkalan untuk menyelamatkan Napoleon Bonaparte yang dipenjarakan di Saint Helena.

PENUNJUK arah menunjukkan betapa jauhnya perjalanan untuk sampai ke Tristan da Cunha.

The Settlement dinamakan sebagai tanda penghormatan untuk anak Ratu Vicoria, Putera Alfred, Duke of Edinburgh yang melawat pulau berkenaan pada 1867.

Duke of Edinburgh kedua, Putera Phillip, juga melawat pulau berkenaan pada 1957.

PENGUIN baka rockhopper yang banyak terdapat di kepulauan itu.
Hmetro

Baca lagi >>

Kagum! Umur 7 tahun dah khatam al-Quran

TUMPAT - “Walaupun baru setahun dia belajar al-Quran di Masjid Kampung Laut, alhamdulillah dia sudah khatam 30 juzuk al-Quran,” kata Nasirizal Mohd Nasir, 42, ibu kepada Mohd Adib Che Daud.

Mohd Adib, 7, merupakan pelajar termuda dari kelas al-Quran di Masjid Kampung Laut, berjaya khatam al-Quran, kelmarin.
Wan Mat Zain mengetuai majlis khatam a-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut, Tumpat, kelamarin.
Gambar kecil: Mohd Adib.

Nasirizal berkata, seorang lagi anaknya, Aisyah Farina, 9, kakak kepada Mohd Adib turut berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, ia melakar sejarah tersendiri kerana dua anaknya khatam serentak sempena majlis khatam al-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut.

“Ia anugerah ALLAH apabila Mohd Adib mampu habiskan 30 juzuk al-Quran hanya dalam masa setahun.

“Kelebihan itu saya kesan ketika Mohd Adib berusia lima tahun lagi. Ketika berumur enam tahun dia mengikuti kelas al-Quran di masjid ini,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Laut, Wan Mat Zain Wan Yusof berkata, 43 pelajar berjaya khatam al-Quran tahun ini.

Menurutnya, majlis khatam al-Quran lebih meriah kerana turut diadakan majlis perarakan, persembahan nasyid dan kuiz yang turut dihadiri ibu bapa.

“Khatam al-Quran mendapat kerjasama Kumpulan Media Karangkraf yang mengaktifkan Rumah Ngaji di masjid ini,” katanya.

Wan Mat Zain berkata, lebih bermakna apabila al-Quran sumbangan Kumpulan Media Karangkraf dimanfaatkan sepenuhnya apabila al-Quran itu digunakan ketika majlis khatam berkenaan.

Menurutnya, 350 pelajar yang mengikuti kelas al-Quran yang dibahagikan kepada tujuh kelas dengan tujuh tenaga pengajarnya.

“Kelas al-Quran ini diwujudkan sejak 10 tahun lalu dengan pelajarnya berusia 6 tahun hingga 13 tahun,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Penggunaan contact lens yang tidak betul boleh menyebabkan mata buta

Jika dulu, kanta lekap menjadi alternatif remaja untuk menggantikan penggunaan cermin mata, kini penggunaan kanta lekap lebih untuk tujuan berfesyen sama ada yang rabun penglihatan atau sebaliknya.

Kewujudan kanta lekap berwarna menjadikan pemakaian kanta lekap lebih popular dalam kalangan remaja sebagai aksesori kecantikan mata.

Permintaan yang tinggi menyebabkan ejen yang tidak berdaftar mengambil kesempatan menjual kanta lekap secara terus kepada pembeli. Lihat saja lambakan pelbagai jenama kanta lekap di pasaran. Ada yang dijual dengan harga serendah RM20.

Namun, adakah anda tahu ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mata?

Menurut Ketua Pusat Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, pengguna dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dengan harga murah kerana kebersihan dan kualiti kanta lekap berkenaan tidak terjamin.


“Kebersihan adalah aspek paling penting dalam pemakaian kanta lekap kerana mata sangat sensitif dengan kekotoran yang boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius,” katanya.

Dalam artikel ini, Gen Y mengupas beberapa isu berkenaan penggunaan kanta lekap yang perlu diberi perhatian. Meskipun kanta lekap berperanan besar membantu memperbaiki penglihatan, namun pemakai kanta lekap akan terdedah dengan pelbagai risiko jika salah cara penggunaannya.

Pengguna remaja meningkat

Mata individu normal mempunyai tisu berwarna yang dikenali sebagai iris. Setiap individu mempunyai iris berbeza-beza. Kebanyakan remaja kita mempunyai iris berwarna hitam dan coklat gelap.

Untuk tampil berbeza, remaja antara individu yang dikenal pasti obses membeli kanta lekap berwarna untuk dijadikan koleksi aksesori mata mereka.

Corak kanta lekap juga berperanan menampilkan kelainan pada paras rupa si pemakai. Selain meniru gaya artis pujaan mereka, warna yang pelbagai mampu menaikkan aura mata mereka supaya kelihatan lebih seksi.
Jangan terlalu obses untuk kelihatan cantik sampai tidak memikirkan akibatnya pada masa akan datang. Seeloknya pengguna disarankan membeli dan mendapatkan nasihat daripada pakar optometris.

Wujud ejen tidak berdaftar

Hari ini, kanta lekap bukan saja mudah didapati di pasar malam bahkan boleh dibeli secara atas talian. Remaja yang tidak mengalami masalah penglihatan biasanya berani membeli dan menggunakannya tanpa nasihat pegawai optometris.

Tidak kisah akan risikonya, asalkan dapat memiliki kanta lekap dengan harga murah. Pembelian daripada ejen yang tidak berdaftar akan menyebabkan pengguna tidak tahu cara penjagaan dan penggunaan kanta lekap.

Justeru, remaja juga tidak tahu komplikasi teruk yang akan terjadi disebabkan penyalahgunaan kanta lekap. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan maklumat dari segi jenama berdaftar, saiz dan tarikh luput kanta lekap ketika membelinya daripada ejen yang tidak berdaftar.

Berkongsi kanta lekap

Kebanyakan pengguna terutamanya remaja sering berkongsi atau bertukar-tukar kanta lekap. Tanpa mengeluarkan wang yang banyak, mereka punya lebih banyak pilihan untuk digayakan.

Sekali dua mungkin tidak menjejaskan kesihatan mata. Hakikatnya pada masa terdekat ia akan menyebabkan komplikasi yang teruk pada mata mereka. Komplikasi mungkin dialami seperti jangkitan kuman, kabur penglihatan atau sakit mata yang berlarutan.

Sekiranya anda mengalami komplikasi itu, anda dinasihatkan berhenti menggunakan kanta lekap dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor mata.

Mata anda boleh menjadi buta jika lambat mendapatkan rawatan daripada doktor kerana jangkitan kuman amat mudah merebak.

Kurang pendedahan

Ramai remaja beranggapan kanta lekap sama seperti aksesori kecantikan yang lain. Asalkan mata kelihatan cantik, itu sudah mencukupi. Namun, risiko yang berlaku nanti akan memudaratkan masa depan mereka.

Kurang pendedahan atau iklan mengenai komplikasi dan cara penggunaan yang betul menyebabkan remaja mengambil mudah masalah ini.

Malah, ada yang berani menggunakan kanta lekap lebih daripada lapan jam sehari. Patuhi had masa yang disarankan kerana mata juga memerlukan oksigen. Selain itu, tidur tanpa menanggalkannya juga berisiko tinggi menghidap ‘ulser kornea’.

Ulser kornea boleh menyebabkan seseorang menjadi buta. Pembedahan penggantian kornea adalah satu-satunya rawatan yang ada. Namun, perlu di ingatkan bukan mudah untuk mendapatkan penderma mata.

Penjagaan rapi

Memakai kanta lekap tidaklah semudah yang disangka. Kanta lekap bukan seperti anda memakai bulu mata palsu yang hanya perlu digam. Ia memerlukan penjagaan yang rapi bagi menghindari komplikasi kebutaan.

Anda perlu mengikut arahan penjagaan seperti berikut untuk menghindari risiko itu. Cuci tangan dengan sabun tanpa pewangi sebelum memegang kanta lekap. Keringkan tangan menggunakan tuala yang bersih.

Bagi remaja yang bersolek, anda mesti memakai kanta sentuh sebelum bersolek. Jangan gunakan air paip untuk mencuci kanta lekap kerana kuman di dalam air paip boleh menyebabkan jangkitan pada mata.

Cuci kanta lekap menggunakan jari kelengkeng dengan menyapu secara perlahan pada kanta yang diletakkan di telapak tangan untuk membuang kekotoran. Gunakan bahan pembersih yang disarankan oleh pembekal atau kedai optometris.

Risiko

Penjagaan sambil lewa dan penggunaan kanta lekap melebihi had masa memang memberi kesan buruk pada kesihatan mata. Ini kerana mata memerlukan oksigen dan jangkitan kuman akan memburukkan lagi keadaan mata anda.

Antara risiko yang anda akan hadapi adalah luka atau calar pada lapisan atas bola mata. Selain itu, alahan akan menyebabkan mata gatal, berair dan merah. Jika anda kabur penglihatan secara tiba-tiba, kemungkinan mata anda telah dijangkiti kuman dan akan buta.

Mata bukan mudah untuk ditukar ganti. Tidak salah untuk bergaya dengan kanta lekap tetapi belilah daripada pembekal yang berdaftar demi keselamatan mata anda!

Hmetro

Baca lagi >>

Kuala Lumpur bergelap

KUALA LUMPUR - Beberapa bangunan di sekitar ibu negara bergelap selama sejam sebagai tanda sokongan terhadap kempen Earth Hour mulai 8.30 malam tadi. 

Tinjauan Bernama mendapati antara bangunan tersebut ialah bangunan mercu tanda Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Bangunan Daya Bumi, pusat beli-belah Pavillion, Fahrenheit, Lot 10 dan Galeri Starhill. 

Ribuan warga kota dan pelancong di sekitar kawasan berkenaan bersorak apabila lampu dipadamkan bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen yang bertujuan menyelamatkan bumi daripada pemanasan dan perubahan iklim. 

Bagi seorang warga kota, Mohd Fattah Abdul Sidek, 28, kempen Earth Hour yang diadakan selama sejam ini dapat memberi manfaat kepada dunia. 

Katanya, dunia tidak dapat lari daripada perubahan iklim dan pemanasan global dan isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. 

"Atas dasar kesedaran ini saya hadir ke ibu negara pada malam ini bagi menyatakan sokongan saya terhadap kempen Earth Hour ini," katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Siti Zulaikha Mohd Rosli, berkata beliau berharap kempen ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak dan lebih ramai individu mengambil bahagian pada kempen yang akan datang. 

"Kalau boleh saya harap kempen ini dapat dilaksanakan pada setiap bulan untuk menggalakkan lebih banyak orang menggunakan tenaga elektrik dengan berhemah," katanya. 

Pelancong Australia, David Matthew, 32, turut menyifatkan kempen ini sebagai satu usaha bagi menjimatkan tenaga elektrik, sekali gus menyelamatkan bumi daripada pencemaran. 

Earth Hour merupakan acara tahunan, yang diadakan pada hari Sabtu terakhir bulan Mac, untuk setiap kediaman dan pejabat mematikan lampu dan peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam sebagai usaha mengurangi penggunaan karbon. 

Ini merupakan kali keempat Kuala Lumpur bersama-sama 7,000 bandar raya dari 172 negara di seluruh dunia menyertai kempen alam sekitar terhadap perubahan iklim.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kanak-kanak cedera angkara bom kluster Israel

BEIRUT - LUBNAN. Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak cedera dalam satu letupan di selatan Lubnan, kelmarin.

Menurut Reuters, saksi berkata, letupan berpunca daripada bom kluster lama milik Israel yang digugurkan di kawasan itu semasa perang Israel-Lubnan pada 2006.
Mangsa yang cedera di bawa ke hospital di bandar Tyre.

Bom roket berangkai itu meletup ketika mereka bermain di perkampungan Zibqin, beberapa kilometer dari sempadan Israel.

"Dua kanak-kanak mengalami kecederaan parah dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal," kata anggota paramedik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengacara Olga Syahputra meninggal dunia akibat kanser

PENGACARA dan pelawak terkenal Indonesia, Olga Syahputra atau nama sebenarnya Yoga Syahputra dilaporkan meninggal dunia semalam di Singapura selepas menderita kanser meningtis sejak 2013, lapor portal berita, Liputan6.com.

Berita sedih itu disahkan pengurusnya, Vera Zanobia melalui panggilan telefon kepada sebuah stesen TV swasta.

Kemudiannya, stesen TV itu turut berkongsi berita tersebut di laman mikro Twitter.

"Turut berdukacita atas meninggalnya Olga Syahputra pada jam 5.17 petang," tulis stesen TV itu.

Sebelum pengesahan rasmi dibuat, berita kematian Olga di Hospital Mount Elizabeth, Singapura itu telah pun kecoh di Twitter.

Vera sekali lagi mengesahkan pemergian Olga melalui kemaskini status terkini di Twitternya.

"Innalilahiwainalilahirojiun telah 'pulang' kesayangan mak, Olga Syahputra pada jam 5.17 petang (waktu Jakarta) dihari Jumaat. Minta doa buat kesayangan mak," tulisnya.

Ucapan takziah buat Olga menjadi 'trending' di Twitter apabila peminat dan kenalannya melahirkan rasa sedih atas pemergian pengacara berusia 32 tahun itu.

Sebelum ini, Olga telah menerima rawatan di hospital di Singapura berkenaan untuk tempoh yang agak lama.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Saturday, 28 March 2015

Kebakaran di Semporna, mangsa menerima sumbangan RM100,000

SEMPORNA - Sebanyak 297 ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini, menerima wang tunai RM100,000 sumbangan peribadi Adun Bugaya Datuk Ramlee Marhaban.

Ramlee berkata, sumbangan berkenaan untuk meringankan beban dan penderitaan yang dialami kira-kira 2,600 mangsa yang terbabit dalam musibah itu.

"Kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa. Oleh itu kerajaan negeri akan pastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.



Beliau berharap kesemua mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa mereka serta sentiasa menjaga kesihatan ketika berada di pusat pemindahan sementara.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Rabu lepas, 233 rumah atas air musnah dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah menasihatkan agar semua pemimpin masyarakat di daerah itu mangambil langkah berjaga-jaga dalam isu keselamatan kampung, untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

"Selain itu saya berharap semua penduduk dapat bersatu padu dan mengamalkan sikap tolong-menolong dalam menghadapi kesukaran ketika diuji dengan musibah yang tidak diduga," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

GST tidak bebankan petani, penternak atau nelayan - Datuk Seri Ismail Sabri

BERA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April ini tidak membebankan petani, penternak atau nelayan malah golongan tersebut akan terus mendapat pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan.

Katanya, walaupun terdapat sedikit kenaikan harga produk dan peralatan pertanian, tetapi ia tidak akan memberi kesan buruk ke atas pendapatan golongan tersebut kerana mereka akan turut menikmati hasil yang baik dan lumayan.

"GST tidak akan memberi kesan besar sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan yang tinggi. Bagi golongan petani, peladang kebanyakannya sudahpun membeli alat jentera dan pembelian jentera itu adalah dalam jangka masa panjang.

"Meskipun racun dan baja turut dikenakan GST, kerajaan akan terus memberi bantuan baja dan racun kepada golongan petani kecil dari semasa ke semasa supaya dapat meningkatkan pengeluaran masing masing," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak di sini hari ini.  

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan dan membela nasib golongan petani, penternak dan nelayan di negara ini agar mereka tidak terbeban, malah pelbagai bantuan dan insentif diberikan setiap tahun.

"Pelbagai bantuan dan inisiatif itu akan terus dilaksanakan selain pelbagai pendekatan baharu membantu mereka akan dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan GST tidak akan mengubah hasrat kerajaan menurunkan harga jualan di pasar tani seluruh negara memandangkan peniaga terlibat tidak akan dikenakan cukai berkenaan.

Katanya lagi, bermula Jun ini semua peniaga pasar tani di seluruh negara diarahkan supaya tidak bergantung kepada pemborong dan mengambil terus produk jualan daripada ladang dan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi membantu memasarkan barangan mereka terus kepada pengguna dengan harga berpatutan. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Presiden China beri hadiah istimewa kepada anak perempuan Datuk Seri Najib sempena majlis perkahwinannya

BOAO - CHINA. Presiden China, Xi Jinping menyampaikan hadiah istimewa kepada anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa, yang melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.

"Beliau telah membuat sesuatu yang saya tidak jangka iaitu memberikan hadiah istimewa untuk anak saya,” kata Najib selepas mesyuarat dua hala dengan Jinping di sini hari ini.

Beliau berkata hadiah itu ialah berupa kain sulaman dua belah bercorak bulan penuh dan bunga mekar serta set teh porcelin China.

"Saya diberitahu bahawa sulaman itu melambangkan kebahagiaan yang abadi," kata Najib yang berada di sini untuk menghadiri Forum Boao Untuk Asia 2015 di sini.

"Presiden Xi juga telah dua kali menyampaikan ucapan tahniah kepada anak saya saya atas perkahwinannya, kata beliau.

Nooryana Najwa melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Daniyar Kessikbayev pada 19 Mac lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

TRW kena rombak barisan pemain import

KELANTAN perlu membuat rombakan barisan pemain import sedia ada bagi memantapkan lagi kesebelasan utama pasukan itu, kata jurulatih baharu pasukan itu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Beliau berkata, pasukan itu perlu mendapatkan pemain import yang berkualiti kerana masalah yang dihadapi buat masa ini adalah kerana pemain import beraksi di bawah tahap yang diharapkan.

"Banyak yang perlu dikemaskini dan saya perlu kemaskan pasukan, apa yang saya inginkan ialah lakukan lebih banyak hantaran pendek.

"Kita masih ada masa, bahagian pemain pertahanan tiada banyak masalah yang ketara cuma di bahagian tengah kena cari untuk gandingkan dengan Piya (Mohd Badri Radzi), kita perlukan pemain import yang berkualiti," katanya ketika ditemui pemberita Kota Bharu, hari ini.

Mohd Azraai berkata masa yang ada perlu digunakan oleh pengurusan bagi mendapatkan pemain yang berkualiti untuk mencerahkan peluang pasukan untuk mencabar kejuaraan pada musim ini.

"Kita perlu dapatkan pemain yang masih beraksi kerana ia amat penting, kita tidak perlu tunggu pemain itu cergas sepenuhnya kerana ia akan memakan masa," katanya.

Bekas pengendali T-Team itu dilantik sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan George Boateng dan beliau akan dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Mohamad Sidek Shamsuddin.

Jendela perpindahan pemain akan dibuka pada April ini dan Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.

Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan dan kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata.

Sinar Harian

Baca lagi >>