Tuesday, 10 February 2015

Wanita dipukul semasa pertemuan pertama kerana tak cantik

CHINA - Angkara merasakan dirinya tertipu, seorang lelaki tergamak memukul seorang wanita yang baru dikenalinya sebagai wanita cantik di media sosial bertukar menjadi sebaliknya.

Xiaojin Tuan, 32, mengenali Huang Mao melalui laman sosial WeChat dan gambar profil yang digunakan wanita terbabit berlainan dengan rupa sebenarnya.

Lelaki berkenaan yang hilang sabar dan merasakan dirinya tertipu terus menumbuk wanita tersebut.

"Saya sangat kenal dengannya kerana rupanya sudah sebati dalam ingatan saya. Oleh itu, apabila wanita lain datang dan duduk sebelah saya, saya benar-benar terkejut.

Wajah sebenar Huang Mao. - Foto CEN
"Wanita tersebut mempunyai wajah yang gemuk dan berjerawat, sama sekali berbeza dengan wanita dalam gambar," katanya.

Kedua-dua mereka mula bertengkar dan lelaki tersebut menuduh wanita terbabit menipunya lalu menumbuk wanita itu hingga jatuh ke lantai. 

Menurut laporan Metro.co.uk, orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba untuk meleraikan pertengkaran tersebut

Sementara itu, rakannya, Kong Ho, berkata Xiaojin sangat teruja untuk bertemu wanita yang dianggapnya dewi itu.

"Saya sering menasihatinya untuk berhati-hati dan berkata wang yang dibelanjakan Xiojin untuk membeli tiket penerbangan demi berjumpa wanita terbabit agak mahal namun dia mengatakan yang cinta tidak mempunyai harga dan tidak kisah membelanjakan wang yang banyak," ujarnya.

Jurucakap polis berkata, kedua-dua mereka ditahan dan wanita tersebut telah diberikan rawatan perubatan.

Wanita terbabit bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak mendakwa  Xiaojin dan tidak akan mengadakan temujanji dengan lelaki yang dikenali melalui media sosial lagi.

Sinar Harian