Thursday, 19 February 2015

Tok Guru pemimpin yang bersahaja tetapi berpendirian tegas

‘Jaga maruah, jangan sampai bila ALLAH SWT benci maka semua aib kita ditelanjangi yang menyebabkan kita hilang harga diri’, itulah antara pesanan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) yang tidak akan dilupakan Setiausaha Pas Kawasan Pasir Puteh, Zainuddin Awang Hamat.

Zainuddin berkata, walaupun ketika menjadi Menteri Besar (MB), arwah bersifat seperti bapa kepada wakil-wakil rakyat dan pimpinan Pas.

“Sebagaimana bapa menasihati anak-anak agar berkelakuan baik, begitulah sikap Tok Guru terhadap saya dan mungkin juga kepada pimpinan lain.

“Dia agak telus, tak suka berahsia kepada rakyat kecuali perkara membabitkan dasar parti dan kerajaan yang menyebabkan kita mengetahui isi hatinya,” katanya.

Zainuddin dan Wan Hassan bersama-sama Tok Guru
Zainuddin yang juga bekas Adun Limbongan berkata, Tok Guru merupakan seorang pemimpin bersahaja tetapi berpendirian tegas dan berani menghadapi apa jua situasi dalam menegakkan kebenaran.

Tetap ada hubungan baik

Katanya, walaupun tidak lagi bergelar Yang Berhormat, dia dan Tok Guru tetap mempunyai perhubungan baik sehinggalah Tok Guru menghembuskan nafas terakhir.

“Tok Guru pasti meluangkan masa menziarahi saya di hospital dan detik paling menyentuh hati bila melihat Tok Guru sendiri terlantar di wad.

“Dia tokoh abad ini. Pemergiannya merupakan kehilangan besar bagi pejuang Islam, semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang dirahmati ALLAH,” katanya.

Tak kekok berbincang dengan Tok Guru

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh, Wan Hassan Wan Ibrahim turut mengakui bahawa Tok Guru sering menasihatinya dalam apa jua perkara.

Wan Hassan berkata, nasihat yang sering diulang adalah supaya saya bersabar dengan apa jua halangan serta istiqamah dalam perjuangan.  

“Walaupun dia merupakan pemimpin besar, ada ketikanya pandangan kita diambil kira yang menyebabkan kita merasakan ini satu penghormatan yang diberikan.

“Tidak kekok untuk berbincang sesuatu perkara dengannya walaupun berkaitan hal peribadi dan luahan hati kita ‘disimpan baik-baik’ sehingga suatu masa dia akan kembali bertanya mengenainya," katanya.

Katanya, Tok Guru sering menghubunginya secara peribadi untuk bertanya khabar apa perkembangan mengenai sesuatu perkara.

“Kita kehilangan tokoh yang sukar dicari ganti, tokoh disukai rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Sifat-sifatnya yang prihatin dan sederhana tapi berjaya merubah landskap politik negara perlu diwarisi," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh menjadi MB Kelantan, Tok Guru melakukan banyak pembaharuan dan perubahan yang disenangi rakyat sehingga apa yang dipraktikkan menjadi ikutan di negeri-negeri lain.

Sinar Harian